Keahlian Bersatu melonjak kepada 700,000 orang

LocalPolitics
30 Nov 2024 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahli Bersatu yang hadir Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN -ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencatatkan peningkatan keahlian, dengan keanggotaan yang kini mencecah hampir 700,000 orang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah tersebut termasuk ahli bersekutu seramai 30,000 orang.

“Ini membuktikan Bersatu akan mewakili semua rakyat di dalam negara ini. Kita adalah parti masa depan untuk Malaysia.

“(Selepas ini) Pentadbiran baharu dengan sokongan ibu pejabat akan turun membantu akar umbi untuk memperkuatkan parti supaya menjadi lebih besar,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.

Pada PAT sebelum ini, Bersatu melaporkan sokongan terhadap parti itu terus diperkukuh apabila merekodkan seramai 600,667 ahli.

Setiausaha Agungnya ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli berkenaan melibatkan 202 bahagian dan 7,352 cawangan.

Sementara itu, Azmin menjelaskan, keanggotaan yang besar itu akan dapat membantu mempersiapkan parti untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

“Pilihan raya tidak semestinya berlaku tiga tahun akan datang, ia mungkin berlangsung lebih awal.

“Asalkan rakyat hari ini menyatakan Kerajaan Madani adalah kerajaan gagal, maka Putrajaya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tiada pilihan untuk membubarkan Parlimen untuk menghadapi PRU,” katanya.