
KUALA LUMPUR - Keamanan sejati hanya akan tercapai dengan keberanian dan keyakinan teguh untuk menolak kezaliman dalam apa jua bentuk.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perarakan sempena memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, Beijing yang disaksikan hari ini membawa makna tersendiri.
Menurut beliau, perarakan tersebut adalah simbolik penentangan terhadap kezaliman, penindasan, pencerobohan, kerakusan kuasa, kolonialisme dan imperialisme yang menjadi titik hitam dalam sejarah peradaban manusia.
“Namun selepas 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia masih lagi dihantui penindasan dan kekejaman yang berlaku secara terbuka.
“(Semua itu berlaku) tanpa penentangan daripada kuasa-kuasa besar yang sering mendabik dada tentang demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.
Perdana Menteri dipercayai merujuk kepada situasi semasa dunia, yang menyaksikan rejim Zionis Israel masih bermaharajalela menzalimi penduduk Palestin, walaupun berdepan tentangan dan kutukan ramai.
Jelas Anwar, perarakan tersebut adalah atas undangan Presiden China, Xi Jinping untuk beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Bersama barisan 26 pimpinan dunia, kami diberi penghormatan untuk menyaksikan perarakan ini dari Gerbang Tian’anmen.
“Monumen bersejarah ini pernah menjadi pintu masuk utama ke Kota Larangan sewaktu Dinasti Ming dan Qing,” katanya.
Anwar memberitahu, beliau dan Dr Wan Azizah selepas itu dijemput ke Great Hall of the People bersama barisan pemimpin negara lain bagi menikmati jamuan makan tengah hari yang dihoskan Xi.
“Terima kasih Presiden Xi atas pengalaman bersejarah yang cukup bermakna,” katanya.
Padap pertunjukan itu, Perdana Menteri memberitahu, beliau sempat bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang turut dijemput.

“Secara kebetulan ketemu ketua pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un yang turut hadir menyaksikan perarakan di Dataran Tian’anmen. Sempat salam dan tegur sapa,” katanya ringkas. - Getaran, 3 September 2025
