Keanggunan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah jadi sorotan, Azrinaz terima banyak tag laman sosial. 'My mini me making a headline'

21 Jul 2024 • 12:23 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KEBERANGKATAN puteri bongsu Brunei Darussalam, Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah ke Majlis Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara mencuri tumpuan ramai.

Masakan tidak, hantaran dimuat naik menerusi akaun ameeraahbolkiahh tular selepas berkongsi petikan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyaksikan Puteri Ameerah berjalan memasuki Balairung Seri, Istana Negara bersama kerabat diraja Brunei.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Putera Brunei Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, dan ahli keluarga diraja Brunei yang lain.

image is not available

Berangkat sama, Pengiran Anak Isteri Rosnah Adam, Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah dan Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dan suami, Pengiran Muda Bahar ibni Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Puteri Ameerah yang manis menggayakan mini kurung dan selendang kelabu duduk sebaris dalam barisan tetamu kehormat diraja lain.

Manakala ketika berangkat ke Majlis Santapan Diraja, puteri berusia 16 tahun itu menggayakan sepersalinan hijau zamrud.

image is not available

'TERIMA KASIH MEKAPKAN ANAK SAYA' - AZRINAZ

Bekas wartawan penyiaran, Azrinaz Mazhar Hakim tidak lupa berkongsi perkembangan itu di laman sosialnya.

Bekas isteri kedua Sultan Hassanal Bolkiah itu turut berterima kasih kepada pihak yang terlibat yang merias cahaya mata keduanya itu.

image is not available

"Terima kasih Najeeb Azami mekapkan anak saya.

"Too many tags today. My mini me making a headline.

"Ramai juga yang lain hadir but all eyes on her," kongsinya di Insta Story.

image is not available

Azrinaz turut berkongsi empat keratan akhbar berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina yang berkongsi tentang Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

"Masya-ALLAH, paper Cina pun fokus kepadanya. I am sure there were other interesting news during the event kan," titipnya.

image is not available

Jurusolek terkenal tanah air, Najeeb Azami yang bertanggungjawab merias puteri diraja itu turut berkongsi foto kenangan.

Sekadar info, Azrinaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah pada 20 Ogos 2005 dan dikurniakan dua cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 18, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

image is not available

Sejak berpisah pada tahun 2010, Azrinaz tidak lupa memuat naik tentang putera dan puterinya yang kini di bawah jagaan bekas suami, terutama setiap kali tiba ulang tahun kelahiran mereka.

Azrinaz berkahwin kali kedua dengan bekas rakan sekerjanya di TV3, Firoz Khan Abdul Hamid pada 1 Mei 2018.

Perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Areesya Malaykha dan Atheera Medinah yang kini berusia lima dan tiga tahun.