
KUALA KRAU: Agenda kebajikan rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan negeri Pahang dalam usaha memastikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negeri dapat terus dipertahankan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan politik merupakan kunci utama kejayaan Pahang yang kini berada pada landasan ekonomi kukuh sekali gus membolehkan pelbagai inisiatif bantuan dan pembangunan rakyat diteruskan.
Katanya, komitmen kerajaan prihatin yang mengutamakan rakyat itu turut diterjemahkan menerusi Belanjawan Pahang 2027 berteraskan enam agenda utama pembangunan negeri antaranya memperkasa pendidikan, memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan serta memantapkan tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Kalau kita ada kestabilan politik, kita bersatu, kita sokong kerajaan yang ada hari ini, kita birukan negeri Pahang, insya-Allah kita akan boleh lonjakkan negeri Pahang ke tempat yang teratas sekali di negara kita.
“Kita jangan ada huru-hara politik. Kalau tidak, kita rugi kerana kestabilan membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memastikan Pahang lebih maju daripada negeri-negeri lain,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri program Pahang 1st di Dataran Pekan Sehari Kuala Krau, di sini semalam.
Wan Rosdy berkata, kejayaan Pahang mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut membuktikan keupayaan kerajaan negeri mengurus ekonomi dengan baik sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan bagi membiayai pembangunan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil RM1.5 bilion pada 2027 berbanding RM1.279 bilion tahun ini dengan kutipan semasa sudah melebihi RM1.2 bilion dan dijangka mencapai sasaran ditetapkan.
Beliau berkata, kekuatan kewangan negeri membolehkan pelbagai agenda kebajikan diteruskan menerusi Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBN Pahang) dan Aspirasi Pahang 1st termasuk bantuan pendidikan, perumahan serta kemudahan asas kepada masyarakat luar bandar.
Wan Rosdy dalam pada itu berkata, kerajaan negeri kini meneroka peluang industri penternakan melalui usaha mendapatkan lembu Wagyu dari Australia serta kerbau tenusu dari Sepanyol dan Itali.-UTUSAN.
The post Kebajikan rakyat jadi keutamaan Pahang – Wan Rosdy appeared first on Utusan Malaysia.






