Kebakaran 34 Motosikal PPR Kampung Muhibbah Ada Unsur Khianat - Polis

6 Jul 2022 • 5:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
34 buah motosikal rentung dalam kebakaran di kawasan parkir di Blok G, PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, hari ini, dipercayai akibat perbuatan khianat. - Gambar ihsan polis

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyaki kebakaran yang memusnahkan 34 motosikal di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil di sini, hari ini disebabkan khianat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya masih melaksanakan siasatan terperinci mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu khianat dengan api.

“Kes disiasat di bawah seksyen terbabit memandangkan terdapat unsur khianat dalam kejadian ini.

“Pihak polis sedang meneruskan usaha untuk mengesan suspek yang melakukan perbuatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam menegaskan, pihaknya menerima panggilan lebih kurang jam 2.21 pagi tadi mengenai kebakaran motosikal di kawasan parkir motosikal perumahan tersebut.

Beliau berkata, kesemua motosikal musnah dalam kebakaran kerana kedudukannya rapat antara satu sama lain.

“Polis dengan bantuan Forensik Bomba daripada Balai Bomba Sri Rampai menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut.

“Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian itu,” katanya. - Getaran, 6 Julai 2022.