Kebakaran hutan di Indonesia merebak ke kawasan penempatan

WorldEnvironment
10 Aug 2026 • 6:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kebakaran hutan di Indonesia merebak ke kawasan penempatan

JAKARTA: Kebakaran hutan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Pulau Jawa memasuki hari kelapan pada Isnin, dengan lebih 500 hektar kawasan musnah dan api kini merebak ke arah kawasan penempatan.

Pegawai agensi mitigasi bencana Jawa Timur, Satriyo Nurseno, berkata kebakaran di kawasan Lembah Dingklik dalam taman negara itu mula merebak ke arah kawasan perumahan.

Operasi memadam kebakaran disokong dua helikopter pengebom air, beberapa jentera bomba serta dron dilengkapi penyembur air, selain melibatkan renjer hutan dan anggota tentera.

Kebakaran itu menyebabkan Taman Negara Bromo Tengger Semeru, yang merupakan destinasi pelancongan popular, ditutup dan memusnahkan kawasan seluas lebih 700 padang bola sepak.

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, berkata operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan di kawasan Bromo tidak dapat dijalankan dalam tempoh beberapa hari kerana kekurangan awan.

Pembenihan awan dilakukan dengan menyemburkan bahan seperti iodida perak dan garam ke dalam awan menggunakan pesawat bagi merangsang pembentukan hujan.

Kebakaran di Gunung Bromo pada 2023 turut memusnahkan lebih 500 hektar kawasan selepas pasangan yang menjalani sesi fotografi praperkahwinan menyalakan suar yang mencetuskan kebakaran.

Indonesia dijangka mengalami musim kering yang panjang dan buruk tahun ini, dengan risiko kemarau serta kebakaran hutan yang tinggi, sebahagiannya akibat fenomena cuaca El Nino, menurut agensi cuaca negara itu, BMKG.

El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia. Di India dan Asia Tenggara, fenomena itu biasanya membawa keadaan lebih kering.

El Nino sebelum ini turut menyumbang kepada 2023 dan 2024 menjadi dua tahun paling panas pernah direkodkan di seluruh dunia.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 107,000 hektar kawasan terbakar di seluruh Indonesia, iaitu lebih dua kali ganda kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan pada 2023.- AFP

The post Kebakaran hutan di Indonesia merebak ke kawasan penempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved