
MADRID: Perancis dan Sepanyol mula menunjukkan perkembangan positif dalam usaha membendung kebakaran hutan selepas api yang memusnahkan kawasan berhampiran Bordeaux dan Madrid sejak beberapa hari lalu berjaya dikawal, walaupun kebakaran masih berterusan di Greece serta barat Sepanyol.
Eropah berdepan gelombang kebakaran hutan yang terburuk pada musim panas ini susulan beberapa siri gelombang haba yang memecahkan rekod, menyebabkan kawasan yang dilanda kemarau menjadi semakin mudah terbakar dan memaksa ratusan ribu penduduk berpindah dari kediaman mereka.
Di barat daya Perancis, pihak berkuasa mula membenarkan penduduk pulang selepas mengesahkan kebakaran hutan besar yang marak selama lebih seminggu kini berjaya dikawal.
Pihak berkuasa menarik balik arahan pemindahan di 12 daerah di barat dan barat daya Bordeaux, sekali gus membolehkan kira-kira 144,000 daripada lebih 220,000 penduduk yang dipindahkan pulang ke kediaman masing-masing, menurut kenyataan Pengawas Gironde, Sophie Brocas.
Eropah kekal sebagai benua yang mengalami kadar pemanasan paling pantas di dunia. Kajian saintifik terkini mengesahkan perubahan iklim akibat aktiviti manusia mewujudkan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda benua itu sejak beberapa bulan lalu, sekali gus menyukarkan usaha anggota kecemasan untuk mengawal kebakaran.
Data Reuters Climate Monitor menunjukkan purata suhu di Eropah pada Jumaat diunjurkan mencecah 24.9 darjah Celsius, iaitu 3.3 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata bagi tempoh 1961 hingga 1990, menjadikannya benua yang paling jauh daripada norma suhu sejarahnya.
Kepulan asap dan abu yang dilepaskan ke atmosfera dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan jutaan penduduk terdedah kepada pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan. Pakar sains memberi amaran khusus mengenai pelepasan zarah halus dikenali sebagai PM2.5 yang dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru serta masalah pernafasan.
Di pulau Crete, Greece, pasukan penyelamat masih berusaha memadamkan titik panas yang berlarutan sepanjang kawasan kebakaran sejauh 15 kilometer, selain berjaga-jaga terhadap kemungkinan kebakaran baharu tercetus.
Kebakaran yang bermula di tengah Crete pada Rabu lalu memaksa ratusan pelancong dan penduduk tempatan dipindahkan, termasuk melalui laluan laut dari kawasan komuniti pesisir.
“Kami sedang berdepan cabaran besar untuk mengawal kebakaran ini dan berharap dapat mengekangnya menjelang penghujung hari,” kata Timbalan Gabenor Wilayah Perlindungan Awam Crete, Giorgos Tsapakos.
Beliau berkata, keadaan angin kencang yang dijangka berterusan sehingga petang Sabtu dengan kelajuan tiupan sehingga 115 kilometer sejam menyukarkan lagi tugas anggota bomba.
Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) yang berpangkalan di Geneva menganggarkan kira-kira 2,000 pelancong dipindahkan akibat kebakaran di Crete, sambil memaklumkan kediaman, kawasan pertanian, ladang zaitun serta ternakan musnah dalam bencana itu.
Sepanyol pada Khamis menarik balik status darurat kebangsaan di Avila, tengah Sepanyol, serta Madrid selepas keadaan bertambah baik, sekali gus menyerahkan semula kawalan kepada pihak berkuasa wilayah.
Pasukan bomba kekal berjaga-jaga terhadap kemungkinan kebakaran kembali merebak pada Jumaat, manakala hampir 1,000 penduduk dari tujuh kawasan perumahan di Pelayos de la Presa dan San Martin de Valdeiglesias, wilayah Madrid, masih belum dibenarkan pulang ke rumah.- AGENSI
The post Kebakaran hutan di Perancis, Sepanyol beransur reda appeared first on Utusan Malaysia.





