
LONDON: Satu kajian mencadangkan bahawa jumlah kebakaran hutan yang mencatat rekod baharu akibat peningkatan suhu musim panas tahun ini boleh meningkatkan kes kanser kepala dan leher.
Risiko itu dikaitkan dengan pencemaran udara akibat kebakaran itu, yang 10 kali lebih berbahaya kepada kesihatan berbanding asap kenderaan kerana mengandungi paras lebih tinggi zarah halus mikroskopik dikenali sebagai PM2.5. Penyedutan zarah toksik itu boleh meningkatkan risiko kanser tekak, kepala dan leher.
Penemuan itu membimbangkan selepas Britain dan Eropah mengalami antara tahun paling buruk dalam rekod dari segi kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan luas.
Penyelidik dari Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS) menganalisis data selama 16 tahun mengenai kebakaran hutan dan kes kanser kepala serta leher.
Mereka mendapati pendedahan kepada pencemaran asap daripada kebakaran itu meningkatkan risiko kanser sebanyak enam peratus, manakala risiko meningkat kepada 41 peratus bagi mereka yang terdedah setiap tahun.
Dalam laporan yang diterbitkan dalam jurnal ‘The Laryngoscope’, mereka berkata: “Penemuan ini menambah bukti yang semakin banyak mengaitkan pencemaran udara akibat kebakaran hutan dengan kesan buruk terhadap kesihatan, sekali gus menegaskan keperluan memperkukuh peraturan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.”
Musim panas tahun ini encatat rekod baharu dengan lebih 1,000 kebakaran hutan memusnahkan kira-kira 540,000 hektar tanah di seluruh Kesatuan Eropah sejak pertengahan Jun, menurut data rasmi.
Ia meliputi kawasan yang lebih dua kali ganda keluasan Luxembourg.
Beberapa gelombang haba berturut-turut didorong oleh perubahan iklim melanda Eropah, menyebabkan lebih 30,000 kematian, kemarau berleluasa dan kebakaran hutan dahsyat yang memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka, khususnya di Sepanyol dan Perancis.
Rekod suhu di seluruh benua itu dipecahkan, sekali gus mencetuskan kebakaran berbahaya termasuk di kawasan yang lazimnya sejuk dan lembap seperti Belgium dan Scotland.
Menurut data Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), jumlah kawasan yang terjejas akibat kebakaran antara 18 Jun hingga 2 September jauh melebihi purata bagi tempoh 20 tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, angka itu masih lebih rendah berbanding rekod pada 2025, apabila kebakaran memusnahkan lebih 800,000 hektar kawasan dalam tempoh yang sama. – AGENSI
The post Kebakaran hutan tingkatkan kes kanser appeared first on Utusan Malaysia.

