
IPOH: Seramai 108 pekerja pasar raya besar Mydin Manjoi yang terlibat dalam kebakaran malam tadi akan ditempatkan di cawangan pasar raya itu di Meru Raya sementara premis tersebut ditutup susulan insiden malang tersebut
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Ameer Ali Mydin berkata ia bagi memastikan kebajikan kesemua pekerja dijaga dan mereka boleh terus bekerja.
“Duit kita boleh cari namun pekerja yang sudah bekerja lima hingga 12 tahun memang kita akan jaga kebajikan mereka dan kita akan tempatkan mereka di Mydin Meru.
“Mereka juga ada tanggungjawab, walaupun kami sedang menghadapi ujian ketika ini jangan ditambah lagi kesukaran pekerja kami,“ katanya ketika melawat premis Mydin Manjoi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam semalam, sebahagian daripada premis dua tingkat itu musnah dijilat api namun tiada mangsa terlibat dilaporkan.
Kebakaran di tingkat atas pasar raya itu berjaya dikawal tengah malam tadi, namun bomba hari ini masih dalam proses memadamkan sisa kebakaran.
Dalam pada itu, Ameer Ali memberi jaminan pihaknya tidak akan ‘meninggalkan’ Kampung Manjoi susulan insiden berkenaan.
“Kita dimaklumkan bumbung bangunan sudah tiada malah struktur bangunan berisiko untuk runtuh. Kita akan menunggu laporan penuh daripada pihak bomba, selepas ini andai kata kita perlu pecahkan dan bina semula bangunan baharu kita akan buat demi untuk penduduk Kampung Manjoi,“ katanya yang reda dengan musibah itu dan bersyukur kerana tiada mangsa terlibat.
Beliau berkata Mydin komited memberi perkhidmatan kepada komuniti dalam memudahkan mereka mendapatkan barangan keperluan harian tanpa perlu ke tempat yang jauh.
“Itu yang kami agak sedih sedikit kerana mereka kena keluar dari kampung untuk dapatkan bekalan apatah lagi dengan tibanya Ramadan esok. Mereka perlu keluarkan kos lebih pula sebab jauh nak dapatkan bekalan,“ katanya. -Bernama

