PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100,000 untuk disalurkan segera kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) selepas bahagian selakang dewan sekolah itu hangus dalam kejadian petang Khamis.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya memaklumkan, peruntukan itu bagi tujuan kerja pembersihan dan kerja-kerja awalan lain seperti penyambungan semula bekalan utiliti yang terjejas akibat kebakaran, pembaikan kecil di kawasan kebakaran dan bangunan berhampiran serta lain-lain.
"Menteri Pendidikan telah melakukan tinjauan di lokasi dan mengumumkan peruntukan segera kepada pihak sekolah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar jabatan itu, kawasan yang terjejas dan berhampiran telah ditutup bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah terpelihara.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan ruang belakang pentas dewan sekolah berkenaan yang menempatkan kerusi dan barangan lain hangus dimamah api dalam kejadian jam 6 petang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kebakaran melibatkan ruang 12 x 50 kaki persegi itu berjaya dipadamkan jam 6.30 petang.



