
SHAH ALAM, 9 JULAI: Perbahasan mengenai insiden letupan paip gas di Putra Heights dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap keterbukaan dan ketelusan dalam menangani isu keselamatan awam.
Speaker Lau Weng San berkata, perbahasan yang melibatkan kira-kira sembilan Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada blok kerajaan dan pembangkang menggambarkan amalan demokrasi yang sihat serta kesediaan membincangkan isu-isu berkaitan rakyat secara terbuka.
“Dalam perbahasan penerangan Dato’ Menteri Besar, kita ada seramai lapan atau sembilan ADN mengambil bahagian. ADN Pandan Indah (EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim) turut memberi penjelasan tentang input teknikal.

“Saya tidak jangka dalam perbahasan Putra Heights ini ada tiga ADN yang berdiri (mencelah). Sebelum ini mereka tidak menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian dalam perbahasan, tapi mereka ambil keputusan untuk mencelah. Ini tindakan baik dan saya alu-alukan.
“Sidang dewan ini terbuka dan disiarkan secara langsung. Kita memang cukup terbuka, setiap hari (sidang) disiarkan ada media sosial,” katanya pada sidang media di DNS hari ini.
Weng San menambah tahap kualiti perbahasan insiden berkenaan baik dengan penyertaan aktif dan input bernas daripada wakil rakyat dengan hujah bagi menjawab pelbagai persoalan.

“Tahap kualiti perbahasan kes Putra Heights adalah bagus dan kita boleh mendapatkan maklumat lebih jelas melalui dewan. Jika tidak tanya dalam dewan, mungkin penjelasan setakat permukaan saja. Jadi dalam dewan kita ada peluang untuk bertanya secara mendalam lagi tentang pelbagai perkara termasuk yang bersifat teknikal,” katanya.
Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membawa usul kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights dalam sidang DNS dan ia dibahaskan beberapa ADN termasuk wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dato’ Dr Ab Halim Tamuri (Paya Jaras).
Selain itu, Wan Dzahanurdin Ahmad (Sungai Kandis), David Cheong (Kajang), Muhammad Izuan Kassim (Kota Damansara) dan G Gunaraj (Sentosa).

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi 1 April lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebelum ini, Amirudin menegaskan siasatan kejadian letupan paip gas itu bebas tanpa campur tangan daripada Kerajaan Negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri tidak pernah masuk campur dalam urusan siasatan itu dan memberi ruang seluasnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan, malah pihak Kerajaan Negeri turut dipanggil sebagai saksi.

The post Kebakaran Putra Heights: Perbahasan di DNS bukti ketelusan isu keselamatan awam appeared first on Selangorkini.

