
KUALA LUMPUR - Segala bentuk bantuan dan usaha kordinasi berkaitan kebakaran saluran gas di Putra Heights perlu diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, arahan tersebut dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Menurut beliau, pemberian bantuan dan aspek kordinasi itu juga perlu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
“Langkah ini bagi memastikan segala gerak kerja terkait pengurusan bantuan di lapangan dapat dibuat dengan teratur dan lebih berkesan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh,” katanya.
Jelas jurucakap itu, Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa berkaitan insiden.
“Beliau juga akan sentiasa memberi sokongan serta dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Tiga hari lalu, Anwar ketika mengadakan tinjauan ke lokasi kejadian memberi jaminan, kerajaan mengambil tanggungjawab penuh memulihkan kawasan perumahan di Putra Heights yang terjejas dalam kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas
Beliau berkata, ia termasuk membaiki atau menggantikan kediaman yang rosak.
Katanya, proses tersebut bagaimanapun akan mengambil sedikit masa kerana ia tidak mungkin mampu dipulihkan dalam masa yang singkat.
“Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Dengan itu saya harap (mangsa dan pihak terlibat) jangan bimbang. Cuma dia mengambil masa sedikit (kerja membaiki atau menggantikan kediaman yang terjejas),” katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, 46 daripada keseluruhan 134 mangsa masih menerima rawatan di hospital setakat tengah hari tadi.
Majoriti mangsa mengalami kesan lecuran akibat bahang kebakaran dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius.
Kejadian pada 8.10 pagi Selasa itu, turut menyebabkan 87 rumah musnah secara total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan. - Getaran, 4 April 2025





