Kebakaran Saluran Gas: Kerugian Dianggarkan RM65.4 Juta - Amirudin

LocalBusiness & Finance
7 Apr 2025 • 5:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kesan kebakaran saluran gas di Putra Heights - Gambar X

KUALA LUMPUR - Jumlah kerugian akibat kemusnahan rumah susulan kebakaran saluran gas di Putra Heights dianggarkan bernilai RM65.4 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha pantas agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan tindakan proaktif bagaimanapun berjaya menyelamatkan pelbagai aset dan kemudahan, yang dianggarkan berjumlah RM285.9 juta.

Menurut beliau, 151 rumah telah disahkan selamat untuk diduduki setakat semalam dan pemiliknya dibenarkan pulang secara berperingkat.

“Pasukan sukarelawan seperti SERVE dan Team Selangor telah turun ke rumah-rumah ini untuk membantu proses pembersihan dengan kebenaran pemilik agar mereka dapat mula kembali ke kehidupan harian dengan lebih pantas,” katanya. 

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-6 Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Shah Alam, hari ini. 

Amirudin berkata, 437 unit kediaman disahkan terkesan dengan kebakaran tersebut, selepas proses pemeriksaan ke atas struktur dan kerosakan dilaksanakan pasukan teknikal. 

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua rumah terbabit diperincikan kepada tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya (kebakaran struktur melebihi 40 peratus), separa musnah (kebakaran kurang daripada 40 peratus) dan terkesan tetapi tidak terbakar struktur.

“Bagi kategori pertama, sebanyak 81 rumah disahkan dalam kategori berkenaan manakala 81 lagi ditakrifkan sebagai separa musnah dan 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kesan kepada strukturnya.

“Baki sebanyak 218 rumah tidak terjejas,” katanya. 

Amirudin menarik perhatian, 219 keluarga yang telah berdaftar dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri di Pusat Pemindahan Sementara akan menerima bantuan masing-masing daripada Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS melalui Kerajaan Negeri.

“Pemilik rumah kategori pertama akan menerima RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 daripada PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan. 

“Untuk pemilik rumah kategori kategori kedua, mereka menerima RM5,000 iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada pihak PETRONAS,” katanya. 

RM5,000 lagi katanya, diberi kepada penyewa rumah, iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan, dan RM2,500 daripada PETRONAS.

“Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan, untuk membolehkan mereka menyewa rumah sementara rumah sedang diperbaiki atau dibina semula.

“Peruntukan ini dianggarkan sebanyak RM7.356 juta yang meliputi 613 keluarga secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, 28 pelajar hari ini yang menetap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diberikan pengangkutan percuma ke sembilan sekolah, dengan kerjasama kenderaan Prasarana Sdn Bhd serta diselaraskan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan pasukan sukarelawan.

“Selain itu, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) akan memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada 265 pelajar bagi membolehkan mereka membeli keperluan asas yang termusnah akibat kebakaran.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri juga akan memulakan usaha sokongan moral seperti kaunseling khusus kepada semua pelajar yang terkesan trauma akibat mengharungi tragedi kejadian kebakaran tempoh hari,” katanya. - Getaran, 7 April 2025