Kebakaran saluran gas: KKM jamin keperluan perubatan di PPS optimum

4 Apr 2025 • 3:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan keperluan perubatan dan kesihatan mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS), berada dalam keadaan optimum.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah ini diambil bagi memastikan mangsa yang dikenal pasti mempunyai penyakit sedia ada menerima penjagaan kesihatan yang terbaik sepanjang tempoh penempatan mereka di PPS Masjid Putra Heights.

“Saya mendapati penjagaan kesihatan ini tidak tergendala, dan kami juga menggunakan MySejahtera yang memberi maklumat secara segera berkaitan ubat yang diperlukan oleh mangsa-mangsa ini.

“Selain itu, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) memastikan sokongan emosi dan kestabilan mental mangsa dalam keadaan yang sejahtera,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Masjid Putra Heights, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata seramai tujuh petugas dari klinik kesihatan daerah, 12 daripada MHPSS, dan tiga daripada pejabat kesihatan daerah memberikan perkhidmatan kesihatan di PPS tersebut. Mereka turut menerima sokongan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Setakat tengah hari ini, PPS Masjid Putra Heights menempatkan seramai 379 mangsa dari 97 keluarga keluarga.

– BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved