Kebelakangan ini, ia dapat dilihat bahawa ada banyak perkhidmatan kecerdasan buatan yang dibangunkan untuk membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti kita seharian, dan ini termasuklah untuk industri pembangunan perisian.
Terkini, sebuah kertas kerja yang dihasilkan oleh pakar-pakar dan pensyarah dari Stanford University telah mengesahkan bahawa kod perisian yang dibangunkan dengan bantuan daripada perkhidmatan kecerdasan buatan seperti GitHub Autopilot telah menghasilkan kod sumber yang mempunyai sejumlah kerentanan sekuriti apabila diuji.
Penyelidikan Stanford mengenai fenomena ini menguji 47 orang secara rawak dimana mereka terdiri daripada para pelajar pra dan pasca ijazah dan juga pakar-pakar industri pengaturcaraan.

Ujian ini hanya menggunakan bahasa pengaturcaraan C untuk menguji hipotesis kerentanan ini, dan laporan yang dikeluarkan Stanford mengatakan hanya 67 peratus daripada kumpulan yang menggunakan bantuan kecerdasan buatan memberi solusi yang memuaskan.
Diantara kesilapan dan kerentanan yang dapat diperlihatkan termasuklah limpahan integer (integer overflow) dan suntikan SQL. Mereka yang tidak menggunakan khidmat GitHub Autopilot dilihat kurang memperkenalkan isu ini, tetapi masih lagi memperlihatkan kelemahan dari aspek yang lain.
Para penyelidik Stanford ini juga mengatakan bahawa tiada isu dalam menggunakan Autopilot, tetapi pengaturcara harus memeriksa kod mereka untuk memastikan bahawa isu-isu yang diperkatakan tidak menyebabkan isu apabila membangunkan perisian mereka sendiri di masa hadapan.


