liza26/10/2026 - 11:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – Baja cecair NexBooster keluaran Nextgreen Global Bhd merekodkan peningkatan hasil padi kira-kira 17% dalam ujian yang dijalankan di Tambun Tulang, Perlis yang menunjukkan potensi produk itu untuk menyokong pertumbuhan perniagaan baja kumpulan berkenaan.
Menurut BIMB Securities Research, ujian yang dibentangkan syarikat itu merekodkan hasil padi sebanyak 6.3 tan sehektar bagi petak yang menggunakan NexBooster, berbanding 5.4 tan sehektar bagi petak biasa.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjelaskan peningkatan hasil berkenaan khusus kepada keadaan ujian tersebut. Hasil itu boleh menyokong penerimaan NexBooster yang lebih meluas dan pertumbuhan jualan baja Nextgreen.
BIMB Securities menjangkakan segmen baja akan terus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan pendapatan Nextgreen pada separuh kedua 2026.
“Ini disokong peningkatan jualan NexBooster, yang mempunyai margin keuntungan kasar lebih tinggi berbanding baja serbuk NexCompost, selain penghantaran NexCompost yang berterusan.
“Segmen baja menyumbang RM33.7 juta atau kira-kira 76% daripada hasil kumpulan pada separuh pertama 2026, sekali gus menunjukkan kepentingannya terhadap prestasi kewangan Nextgreen,” kata BIMB dalam nota kajianya.
NexBooster dihasilkan daripada sisa proses pembuatan pulpa yang diproses semula, kemudian ditambah dengan mikroorganisma berkesan dan nutrien bagi membantu pertumbuhan tanaman.
Sementara itu, NexCompost menggunakan tandan kosong kelapa sawit terurai dan mikrob untuk memperbaiki struktur serta kesuburan tanah.
Kapasiti pengeluaran baja diperluas
Nextgreen menyasarkan barisan pengeluaran baja butiran melengkapkan proses pengujian dan pentauliahan pada Oktober 2026, sekali gus membuka ruang kepada tambahan jualan baja pepejal menjelang akhir tahun apabila penghantaran komersial meningkat.
Kemudahan baja pepejal kumpulan mempunyai kapasiti gabungan sebanyak 30,000 tan setahun bagi produk serbuk dan butiran, manakala kilang baja cecair mempunyai kapasiti pengeluaran berpotensi sebanyak 30 juta liter setahun.
Pada masa sama, kumpulan sedang meningkatkan kapasiti pengeluaran pulpa daripada 10,000 kepada 15,000 tan setahun. Peningkatan itu dijangka menambah bekalan sisa cecair hitam (black liquor), iaitu bahan sampingan proses pembuatan pulpa yang digunakan untuk pengeluaran NexBooster.
Saluran pengedaran meliputi pasaran domestik dan eksport
Bagi mengembangkan jualan, anak syarikat milik penuh Nextgreen, Nextgreen Fertilizer Sdn Bhd, mempunyai pengaturan pengedaran dengan Padi Global Sdn Bhd yang meliputi sehingga 15,000 tan baja setahun bagi tanaman padi di Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
Satu lagi pengaturan dengan DOA Integrated Farming Sdn Bhd meliputi sehingga 20,000 tan setahun bagi tanaman durian dan kelapa sawit di Raub, Pahang. Kedua-dua pengaturan itu merangkumi baja cecair dan pepejal.
Di pasaran eksport, pengaturan melalui syarikat bersekutu P Teguh Nextgreen Sdn Bhd, yang dimiliki sebanyak 49% oleh Nextgreen, boleh meliputi pembelian sehingga 25,000 tan baja setahun di Libya.
BIMB Securities turut menyatakan peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2027 bagi insentif baja semburan daun dan baja bio di kawasan tanaman padi terpilih boleh membuka peluang permintaan tambahan, tertakluk kepada kelayakan produk.
Keuntungan dijangka meningkat pada 2027
BIMB Securities mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras Nextgreen pada RM47.1 juta bagi tahun kewangan 2026 dan RM69.6 juta bagi 2027, masing-masing disokong pertumbuhan jualan baja, peningkatan pengeluaran pulpa dan pengkomersialan makanan haiwan.
Kumpulan itu turut merancang kilang pulpa NeuWhite dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 tan, yang dijangka mula menyumbang hasil pada separuh kedua 2028.
Walaupun prospek pertumbuhan perniagaan dilihat menggalakkan, BIMB Securities mengekalkan saranan 'Pegang' terhadap saham Nextgreen dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.76, berdasarkan 12 kali unjuran pendapatan sesaham tahun kewangan 2027 sebanyak 6.37 sen.
Firma penyelidikan itu menyatakan risiko pelaksanaan dan ketiadaan dividen mengehadkan justifikasi bagi penilaian saham yang lebih tinggi. - DagangNews.com
