Kebimbangan ekonomi dunia runtuh

WorldBusiness & Finance
14 Mar 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perang akan merencatkan aktiviti eksport dan perdagangan antara Malaysia dengan Rusia dan Ukraine. - AFP

PERANG antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran sudah masuk minggu kedua dan seluruh dunia sudah mula merasai kesan yang buruk.

Semasa Perang Rusia dan Ukraine berlaku pada Februari 2022, tiada siapa menyangka ia turut memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia.

Namun harga komoditi global yang meningkat menyumbang kepada inflasi domestik, menjejaskan harga barangan makanan dan bahan api di Malaysia.

Malah perang itu merencatkan aktiviti eksport dan perdagangan antara Malaysia dengan Rusia dan Ukraine.

Tetapi perang AS, Israel dan Iran ini akan menjadikan situasi ekonomi global lebih parah.

Harga minyak mentah melambung tinggi menyaksikan peningkatan harga bahan bakar itu kepada pengguna turut mengalami kenaikan.

Berlaku pembelian panik di beberapa negara menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk menasihatkan rakyat supaya bertenang.

Malah ada negara seperti Thailand dan Vietnam mencadangkan supaya kerja dari rumah (WFH) iaitu satu pendekatan yang dilakukan semasa seluruh dunia berhadapan dengan Covid-19.

Menurut laporan Bloomberg, China mengehadkan eksport produk minyak ditapis untuk melindungi ekonomi domestiknya.

Negara itu merupakan pengimport minyak kedua terbesar dunia dengan operasi penapisan menyokong pasaran domestik.

Sementara, Korea Selatan memperkenalkan had harga bahan api bagi menstabilkan bekalan tenaga semasa perang Iran.

Kerajaan Sepanyol juga merancang pelan untuk mengawal kesan perang terhadap harga elektrik dan bahan api.

Beberapa hari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan langkah awal berjimat cermat dengan melarang penganjuran majlis hari raya Aidilfitri sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan termasuk perjalanan ke luar negara dihadkan.

Pada Jumaat, kerajaan telah mengadakan pasca mesyuarat Khas Jemaah Menteri berhubung konflik geopolitik di Asia Barat itu.

Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara terutama menjelang sambutan Aidilfitri adalah mencukupi.

Bekalan makanan asas negara seperti beras, ayam, sayuran dan buah-buahan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun ini.

Perlu difahami kebanyakan makanan yang diimport daripada negara seperti dalam kalangan ASEAN, India, Pakistan, Brazil dan Argentina.

Cuma yang membimbangkan ialah kenaikan harga minyak akan menyebabkan kos pengangkutan akan turut meningkat.

Masa bersiap sedia

Pada tahun lalu, menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang dengan baik dan berada pada tahap yang amat memberangsangkan.

Namun, impian kita untuk pacu ekonomi bakal musnah disebabkan perang di Asia Barat gara-gara kerakusan dan kegilaan Donald Trump dan Benjamin Netanyahu.

Tidak dapat dibayangkan andai perang tersebut tidak dapat dihentikan dan berpanjangan dalam tempoh masa yang lama dan yang paling membimbangkan ialah ekonomi dunia runtuh.

Jadi kita semua juga perlu bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang.

Sebaiknya kita perlu kurangkan makan di luar, cuba menabung dan memikirkan keperluan berbanding kehendak.

Selain itu, kita juga perlu elak segala bentuk pembaziran, elak juga hutang yang tidak perlu dan amalkan gaya hidup sederhana.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

View Original Article