
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rombakan kabinet terbaharu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang semalam (16 Disember).
Menerusi rombakan tersebut, beberapa menteri baharu telah dilantik, ada yang ditukar portfolio dan ada juga yang digugurkan.
Antara ahli kabinet yang bertukar portfolio termasuk Hannah Yeoh yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, menggantikan Dr Zaliha Mustafa.
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Umum Rombakan, Ini Senarai Penuh Kabinet Kerajaan Terkini
Baca Artikel Berkaitan: Zaliha & Mohd Na’im Digugur Daripada Kabinet Kerajaan Madani, Hannah Yeoh Tukar Kementerian
Ketua Pemuda UMNO WP Suarakan Kebimbangan Hannah Sebagai Menteri WP
Pun begitu, pelantikan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dilihat tidak disambut baik oleh segelintir pihak.
Berdasarkan laporan Awani, ini termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi, yang menyuarakan kebimbangan berhubung pelantikan tersebut.
“Ini merupakan kali pertama semenjak Wilayah Persekutuan ditubuhkan, jawatan tersebut disandang oleh pemimpin daripada DAP dan berbangsa bukan Melayu,” katanya.
Menerusi hantaran di akaun Facebook, dia berkata bahawa setiap dasar yang digubal di peringkat Wilayah Persekutuan yang merupakan pusat pentadbiran negara, akan memberi implikasi terhadap landskap politik dan sosial di Malaysia.
Sebagai info, Hannah merupakan Ahli Parlimen Segambut dan sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Belia & Sukan.
Pelantikan Hannah Yeoh Timbulkan Kegusaran Dalam Komuniti Melayu
Tambah Aliff, komuniti Melayu di bandar yang semakin berdepan tekanan membuatkan selintir daripada mereka berasa gusar dengan pelantikan Ahli Parlimen Segambut itu.
“Pemuda UMNO WP ingin menegaskan bahawa pelantikan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi apabila jawatan strategik ini didominasi oleh satu kaum,” katanya.
Antara kebimbangan utama yang disebutkan olehnya ialah pelaksanaan agenda parti seperti pemilihan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Aliff turut menyuarakan kebimbangan terhadap peranan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Ahli Lembaga Pengampunan yang menuntut keadilan mutlak.
Sebagai info, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan kini disandang oleh Datuk Lo Su Fui (Ahli Parlimen Tawau).
Pemuda UMNO WP Ucap Tahniah Pada Hannah Yeoh
Dalam pada itu, Aliff mewakili pihak pemuda UMNO WP, turut mengucapkan tahniah kepada Hannah dan mengingatkan mengenai amanah rakyat yang dipikul.
“Kami ingin mengingatkan bahawa amanah ini adalah amanah rakyat, bukan amanah parti. Bertindaklah secara adil, profesional dan jangan sesekali meminggirkan kepentingan orang Melayu bandar,” katanya.
Menurut Aliff lagi, pihaknya akan sentiasa memantau dan bersuara demi mempertahankan hak orang Melayu di WP.
“Sekali lagi kami ucapkan tahniah dan selamat bertugas agar negeri Wilayah Persekutuan yang kita cintai ini akan lebih cemerlang dan makmur pada masa akan datang,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Buku ‘Becoming Hannah’: 182 Laporan Polis Dibuat Ke Atas Hannah Yeoh
Baca Artikel Berkaitan: Hannah Yeoh Berazam Mahu Tempatkan Individu Yang Tepat Di Jawatan Yang Sesuai
Baca Artikel Berkaitan: Sekolah Boleh Guna Stadium Nasional Bukit Jalil Secara Percuma Untuk Hari Sukan – Hannah Yeoh
