
KUALA LUMPUR - Selepas berhasil mengejutkan banyak pihak menerusi pendedahan mengenai kartel rasuah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), nama aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard kembali menjadi sebutan.
Ini ekoran dua laporan polis yang dibuat ke atasnya oleh bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini.
Laporan polis berkenaan dibuat susulan dakwaan pendedahan maklumat peribadi serta tuduhan tidak berasas.
Peguam Hafizuddeain, Aizul Rohan Anuar berkata, anak guamnya mendakwa Chegubard telah memuat naik hantaran berkaitan maklumat perbankan di laman Facebook pada 19 Disember tahun lalu.
Menurut beliau, aktivis Pembela Tanah Air (PETA) itu didakwa membocorkan maklumat perbankan milik Muhammad Hafizuddeain, mengandungi beberapa transaksi yang tidak diakui benar.
“Penyebaran data tersebut adalah menyalahi undang-undang di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Beliau (Muhammad Hafizuddeain) juga mengesyaki kemungkinan wujud penglibatan pegawai BNM serta dua institusi perbankan berhubung kebocoran maklumat peribadi terbabit," katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Ketika sidang media berlangsung, Hafizuddeain difahamkan masih berada di dalam IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan lanjut berhubung laporan yang dibuat.
Terdahulu, beliau tiba di perkarangan IPD bersama peguamnya pada jam 12.30 tengah hari.
Aizul Rohan menambah, anak guamnya turut membuat laporan berhubung fitnah yang mendakwa beliau memiliki dan memakai jam tangan mewah berjenama Patek Philippe.
"Dakwaan itu adalah palsu dan mengelirukan kerana jam tangan berkenaan merupakan jam rasmi yang dikeluarkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan ukiran perkataan 'Chief of Army'.
"Gambar bahagian hadapan dan belakang jam tersebut telah pun ditunjukkan sebagai bukti bagi menyangkal dakwaan yang dianggap sebagai manipulasi pihak tertentu," jelasnya.
Menurut Aizul, anak guamnya turut merancang untuk memulakan tindakan sivil terhadap Chegubard, BNM, dan dua institusi perbankan terbabit berhubung pendedahan maklumat sulit itu.
"Bagi tindakan lanjut, kami akan menunggu hasil laporan siasatan polis dan sebarang langkah seterusnya akan bergantung kepada bukti yang diperoleh.
“Dari situ, kami akan menentukan prosedur litigasi sivil yang sewajarnya," katanya. – Getaran, 26 Januari 2026
