Kebun komuniti erat ukhuwah penduduk Taman Tanjung Api-Api

LocalEnvironment
5 Sep 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kebun komuniti erat ukhuwah penduduk Taman Tanjung Api-Api

Berkebun di tengah bandar mungkin kedengaran janggal bagi sesetengah orang. Ruang yang terhad, kos penyelenggaraan dan kekurangan tanah sering dianggap sebagai penghalang untuk bercucuk tanam.

Namun di Shah Alam, tanggapan itu berjaya dipatahkan. Kewujudan lebih 20 kebun komuniti membuktikan kawasan perumahan juga mampu menjadi lokasi menghasilkan makanan, mengeratkan hubungan kejiranan, malah berpotensi menjana pendapatan.

Lebih menarik, kebun itu bukan sahaja menghijaukan persekitaran, malah menjadi medan penduduk bergotong-royong, berkongsi pengalaman dan memupuk semangat kebersamaan dalam menguruskan kawasan kejiranan.

Antara yang mencuri perhatian ialah Kebun Komuniti Taman Tanjung Api-Api di Seksyen 30 yang diusahakan penduduk sejak 2015.

Bermula daripada usaha memanfaatkan kawasan lapang di kawasan taman perumahan, ia kini berkembang menjadi ruang komuniti berkumpul, menjalankan aktiviti kemasyarakatan serta mengurus tanaman secara bersama.

Penubuhan kebun itu didorong hasrat untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk di samping mewujudkan ruang yang memberi manfaat kepada komuniti.

"Kebun ini diwujudkan untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk," kata Pengerusi Kebun Komuniti Taman Tanjung Api-Api Mat Zin Karim kepada Media Selangor.

Image from: Kebun komuniti erat ukhuwah penduduk Taman Tanjung Api-Api
Pengerusi Taman Tanjung Api-Api, Mat Zin Karim ditemui media ketika Program Eksplorasi Kebun Bandar MBSA 2026 di Kebun Bandar Taman Tanjung Api-Api, Klang pada 18 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Keunikan kebun berkenaan bukan hanya terletak pada tanaman yang diusahakan, sebaliknya cara komuniti memanfaatkan sumber sedia ada bagi memastikan kebun terus berfungsi dengan baik.

Sebuah parit monsun yang suatu ketika dahulu dipenuhi semak samun, keladi bunting dan menjadi habitat binatang berbisa dibersihkan secara bergotong-royong sebelum dijadikan sumber utama sistem pengairan.

Usaha penduduk menjaga kira-kira 400 meter parit itu turut menghidupkan semula ekosistem apabila air kembali mengalir dengan baik, sekali gus membolehkan hidupan akuatik tempatan berkembang semula.

Air daripada parit monsun itu dimanfaatkan bagi mengairi kawasan tanaman dan kolam ternakan, menjadikannya sumber utama sistem pengairan kebun.

"Dengan adanya parit yang bersih, air dapat mengalir dengan baik dan kita dapat melihat semula ikan tempatan seperti keli, sepat, haruan dan limbat.

"Air daripada parit itu kemudian dipam ke kolam ternakan serta kawasan tanaman," katanya.

Image from: Kebun komuniti erat ukhuwah penduduk Taman Tanjung Api-Api
Peserta Program Eksplorasi Kebun Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2026 mengikuti sesi lawatan sambil belajar di kawasan Kebun Bandar Taman Tanjung Api-Api, Klang pada 18 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Selain memanfaatkan sumber air semula jadi, tanaman turut diusahakan menggunakan kotak polisterin, polibeg dan pasu, manakala botol mineral serta pelbagai bahan terpakai digunakan semula mengikut konsep 'reduce', 'reuse' dan 'recycle' (3R) bagi mengurangkan kos serta memanfaatkan bahan yang masih boleh digunakan.

Potensi sumber ekonomi

Apa yang berlaku di Taman Tanjung Api-Api sebenarnya mencerminkan perkembangan kebun komuniti di seluruh Shah Alam.

Di bawah penyelarasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), lebih 20 kebun komuniti kini diusahakan bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di zon masing-masing.

Selain menghidupkan aktiviti kemasyarakatan, sebahagian daripadanya dilihat berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi komuniti menerusi penjualan hasil tanaman.

Image from: Kebun komuniti erat ukhuwah penduduk Taman Tanjung Api-Api
Peserta Program Eksplorasi Kebun Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2026 mengikuti sesi lawatan sambil belajar di kawasan Kebun Bandar Taman Tanjung Api-Api, Klang pada 18 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

"Saya percaya ada beberapa kebun komuniti yang boleh kita komersialkan. Hasil tanaman ini boleh dijual di pasar ataupun semasa program anjuran MBSA, sekali gus menjana pendapatan untuk menjalankan aktiviti di peringkat komuniti," ujar Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad.

Perkembangan itu membuktikan pertanian bandar bukan lagi sekadar aktiviti mengisi masa lapang.

Pengurusan yang teratur, semangat kerjasama serta penggunaan sumber secara kreatif, kebun komuniti berupaya menghijaukan kawasan perumahan, mengukuhkan hubungan sesama jiran dan pada masa sama membuka peluang menjana pendapatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved