
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sejak kebelakangan ini, kecoh tentang isu yang berbangkit di mana perobohan rumah di Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang telah dilakukan oleh pihak pemaju.
Difahamkan rumah di kampung itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula yang bakal dilaksanakan.
Berdasarkan laporan media, kira-kira 20 buah rumah telah mula menjalani kerja-kerja pengosongan sejak Isnin lalu (10 November).
Para Aktivis Ditahan Lakukan Bantahan Meroboh Rumah Masih Berpenghuni
Semalam (12 November), satu protes telah dijalankan bagi membantah cubaan meroboh rumah yang belum dikosongkan sepenuhnya dan masih diduduki keluarga di kampung berkenaan.
Demi menjamin keselamatan dan mengawal penduduk, sekumpulan anggota polis bersama Pasukan Light Strike Force (LSF) turut ditempatkan di lokasi.
Pun begitu, keadaan bertukar kecoh apabila sesetengah individu didakwa sebagai penduduk cuba bertindak agresif dan merempuh anggota polis bertugas, lapor Sinar Harian.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arulchelvan, wakil penduduk M Logeswaran dan aktivis M Mythreyar telah ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Merujuk kepada laporan FMT, difahamkan mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan.
more videos from Kampung Papan, where developer Melati Ehsan is evicting residents and demolishing homes.
What is the big difference between this and Zionists evicting Palestinians? https://t.co/q0PEMwI7Qw pic.twitter.com/RT6RAWKRs2
Arul Sifatkan Penahanan Sebagai Penyalahgunaan Kuasa
Bercakap kepada FMT, Arul menyifatkan penahanan itu sebagai tidak wajar dan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Katanya, kumpulan aktivis hanya melaksanakan arahan kerajaan Selangor agar rumah yang masih berpenghuni tidak dirobohkan.
Dia turut mendakwa salah seorang aktivis telah ditahan hanya kerana meminta pihak polis agar kerja perobohan ditangguhkan selama dua hari lagi.
“Bagi saya, ini kes yang jelas. Saya rasa mereka menahan kami supaya kerja perobohan boleh diteruskan. Saya tak nampak sebab lain untuk menahan kami,” katanya dipetik FMT.
Tanah Kg Jalan Papan Diberi Kepada TPPT Sebelum Dijual Kepada Pemaju Swasta
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menerusi hantaran di X menjelaskan bahawa kerajaan Selangor pada mulanya telah memberi tanah di Kg Jalan Papan itu kepada syarikat Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) di bawah Bank Negara untuk menyelesaikan masalah setinggan.
Katanya, tanah itu kemudiannya dijual kepada pemaju swasta dengan perjanjian bertulis bahawa setiap penduduk yang telah lama menetap akan menerima rumah dua tingkat bernilai RM99,000.
Dia turut meminta orang ramai agar berkumpul di IPD Klang Selatan sebagai tanda solidariti dan menggesa agar kesemua lima individu yang ditahan dibebaskan serta-merta.
Human rights defenders @partisosialis @arul_psm & two more were arrested for negotiating with police to defend a family’s home from demolition in Jalan Papan, an urban settlers’ community. They’re being taken to IPD Klang Selatan under Section 186 for “obstruction.”
— Charles Santiago (@mpklang) November 12, 2025
(1/4) pic.twitter.com/ewioW3bhrC
Penduduk Diminta Mengosongkan Rumah Sejak 27 Oktober
Menurut laporan FMT pada 8 November, PSM dan Santiago telah menggesa kerajaan Selangor agar menghentikan perobohan rumah di Kg Jalan Papan kerana bimbang sekitar 100 keluarga akan kehilangan tempat tinggal.
Terdahulu, kerajaan negeri menyatakan bahawa rumah dan premis perniagaan kosong sahaja di kampung itu yang akan dirobohkan.
Pun begitu, penduduk Kg Jalan Papan telah menerima notis pada 27 Oktober yang meminta mereka agar mengosongkan rumah.
Sejak daripada itu, para penduduk telah membuat rayuan agar Menteri Besar Amirudin Shari turut campur tangan dan menghentikan kerja perobohan tersebut.
Peneroka Buka Kampung Jalan Papan Sejak 1939, Namun Kini Dilabel Sebagai Setinggan Haram
Berdasarkan artikel oleh Arul di laman web Sosialis, Kg Jalan Papan sebenarnya telah dibuka oleh para peneroka yang menetap sejak tahun 1939, iaitu ketika negara masih belum mencapai kemerdekaan lagi.
Dari tahun 1968 hingga 1989, mereka telah menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
Pada tahun 1992 pula, kerajaan Selangor mula membuat pelan dan ukur tanah bersama para peneroka yang perlu membayar RM70 untuk proses itu. Mereka turut diyakinkan bahawa langkah ini dijalankan agar menerima hak milik tanah.
Kesemua 95 ekar tanah terbabit kemudiannya dipindahkan kepada TPPT pada 1995 bagi tujuan membina rumah bagi peneroka.
Pada 2007, TPPT membawa masuk syarikat pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. dan memberikan kuasa wakil (POA) kepadanya, juga dengan tujuan sama.
Namun begitu, penduduk di sana kini telah dilabel sebagai setinggan haram oleh pihak pemaju dan juga mahkamah sejak 2020.
Pada 2024, Melati Ehsan berhasrat mengembalikan 11 ekar tanah kepada Kerajaan Selangor agar kerajaan negeri dapat membina rumah untuk peneroka yang sama.
Tambah Arul lagi, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 28 Februari 2018 membuat kesimpulan bahawa 181 orang individu merupakan peneroka asal dan ditawarkan rumah seperti berikut:
- 123 orang peneroka asal dari Kampung Jalan Papan ditawarkan rumah teres 20′ x 70′ pada harga RM99,000.
- 58 orang penama ditawarkan rumah Selangorku Jenis B (800 kaki persegi) pada harga RM99,000.
- Kira-kira 30 buah keluarga yang masih mempunyai struktur tapak sedia ada ditawarkan rumah kos sederhana mengikut harga pasaran atau unit Selangorku Jenis B.

