Kecoh Apabila Harry Styles Dikatakan Meludah Pada Chris Pine Sewaktu Majlis Tayangan Filem

Entertainment
7 Sep 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Chris Pine (kiri) dan Harry Styles - Gambar oleh Vittorio Zunino Celotto/Getty Images

Tular di media sosial seluruh dunia apabila bintang pop terkenal, Harry Style dikatakan telah meludah pelakon Chris Pine sewaktu menghadiri tayangan perdana filem lakonan mereka yang berjudul Don’t Worry Darling.

Video yang menunjukkan seolah-olah Harry telah meludah ke atas Chris sewaktu dia mahu duduk di atas kerusi menjadi perdebatan hebat netizen.

Ada yang mendakwa sebenarnya Harry tidak meludah, sebaliknya Chris hanya melihat kaca mata yang berada di atas kerusi. Situasi itu menampakkan seolah-olah Harry telah meludah kepada Chris.

Pihak Chris juga telah tampil mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu sama sekali tidak terjadi dan mendakwa bahawa tuduhan netizen adalah mengarut. 

“Ini adalah cerita yang mengarut. Ia merupakan cerita rekaan hasil dari ilusi pelik yang jelas sekali cenderung ke arah penipuan dan spekulasi bodoh. Sekadar untuk pencerahan, Harry Styles tidak meludah Chris Pine,” kata wakil Chris Pine kepada People.

Harry dan Chris sama-sama terlibat dengan promosi filem yang diarahkan  Olivia Wilde itu sewaktu menghadiri Festival Filem Venice.

Filem Don’t Worry Darling yang turut dibintangi Gemma Chan dan Florence Pugh akan ditayangkan pada 23 September 2022. – Getaran, 7 September 2022