
LUAR NEGARA – Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei telah meninggal dunia susulan serangan yang didakwa dilancarkan Israel dan AS ke atas Tehran.
Menurut laporan AFP, dakwaan tersebut mencetuskan suasana tegang di beberapa kawasan utama ibu negara Iran. Saksi antarabangsa melaporkan kepulan asap hitam kelihatan di daerah Pasteur, lokasi kediaman rasmi Khamenei. Malah, terdapat laporan menyebut sorakan kedengaran di beberapa jalan utama Tehran susulan khabar angin tersebut.
Khamenei memegang jawatan sebagai Pemimpin Tertinggi Iran sejak 1989, menjadikannya antara tokoh paling berpengaruh dalam landskap politik republik Islam itu.
Trump menerusi hantaran di platform Truth Social mendakwa Khamenei “sudah tidak lagi hidup”. Kenyataan itu bagaimanapun belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini turut menyatakan terdapat “banyak petunjuk” yang menunjukkan Khamenei dipercayai terkorban dalam serangan terbabit.
Iran Lancar Serangan Balas, Ratusan Dilapor Terbunuh
Serangan yang didakwa dilancarkan AS dan Israel itu mencetuskan tindak balas pantas daripada Tehran apabila Iran melancarkan bedilan peluru berpandu ke beberapa lokasi di seluruh Asia Barat.
Laporan awal menyebut sekurang-kurangnya seorang maut dan ramai lagi cedera susulan letupan yang menggegarkan sebuah bandar utama di negara Teluk. Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut melaporkan seorang orang awam terbunuh selain kerosakan akibat peluru berpandu di Dubai dan Abu Dhabi.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 201 individu terkorban manakala lebih 700 lagi cedera akibat siri serangan berkenaan.
Badan kehakiman Iran pula mendakwa satu serangan yang mengenai sebuah sekolah di selatan negara itu mengorbankan 108 individu. Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengakses lokasi kejadian bagi mengesahkan jumlah korban sebenar.
Pihak berkuasa Iran turut menggesa penduduk mengosongkan Tehran yang dihuni kira-kira 10 juta orang sebagai langkah keselamatan.
Tehran Nafi Dakwaan, Tegas Khamenei Masih Hidup
Di sebalik dakwaan kematian itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam wawancara bersama NBC News menegaskan bahawa Khamenei masih hidup “setakat pengetahuan saya”, sambil menambah bahawa semua pegawai kanan negara itu juga masih hidup.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei pula ketika ditemu bual BBC berkata beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan apa-apa mengenai keadaan Khamenei, namun menegaskan seluruh sistem negara kini tertumpu mempertahankan kedaulatan Iran.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa penasihat kanan Khamenei, Ali Shamkhani serta ketua Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Mohammad Pakpour terbunuh dalam serangan tersebut.
Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani menegaskan bahawa tentera dan rakyat Iran akan memberikan tindak balas yang “tidak akan dilupakan” terhadap apa yang disifatkan sebagai penindasan antarabangsa.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Oman yang bertindak sebagai pengantara rundingan antara Washington dan Tehran menggesa semua pihak menghentikan segera operasi ketenteraan dan menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengisytiharkan gencatan senjata.
Konflik yang semakin meruncing ini dijangka terus memberi kesan besar kepada kestabilan Asia Barat, dengan dunia kini menanti perkembangan seterusnya di tengah-tengah percanggahan dakwaan mengenai nasib pemimpin tertinggi Iran itu. – The Malaysian Update
The post Kecoh Dakwaan Khamenei Meninggal Dunia, Iran Tegaskan Pemimpin Tertinggi Masih Hidup appeared first on The Malaysian Update.
