Kecukupan bekalan keutamaan nombor 1

LocalBusiness & Finance
23 Mar 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

PERANG di Iran yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel masih lagi berterusan semenjak ia mula meletus pada 28 Februari 2026.

Harapan bagi penyelesaian kepada konflik ini dilihat suatu keutamaan yang perlu dicapai bagi memastikan bekalan bahan api daripada negara-negara Asia Barat dapat disalurkan kepada komuniti global.

Namun, serangan terhadap kemudahan pengeluaran bagi sektor minyak dan gas di kawasan Teluk telah menjejaskan proses pengeluaran produk petroleum dan gas asli.

Di samping itu, penutupan Selat Hormuz yang merupakan jalan utama bagi produk petroleum dan gas asli cecair atau LNG juga telah merencatkan rantaian bekalan.

Selain daripada itu, produk petrokimia seperti baja juga dijangka terjejas dan berpotensi untuk memberi kesan kepada sektor agromakanan.

Sudah pasti perkara ini telah menimbulkan persoalan adakah bekalan bahan api dan produk agromakanan mencukupi bagi negara ini.

Walau apa pun senarionya, ia amat bergantung kepada tempoh konflik ini berlangsung.

Meskipun demikian, negara Malaysia sememangnya berada dalam keadaan yang baik dalam menghadapi situasi yang getir ini.

Organisasi penting seperti Petronas yang telah ditubuhkan semenjak tahun 1974 mempunyai rangkaian perniagaan di 100 buah negara di serata dunia.

Sudah pasti mereka telah membina jaringan yang luas di dalam rantaian industri minyak dan gas yang mana mereka boleh mendapatkan sumber import bahan api daripada negara-negara seperti Kanada, Amerika Latin, benua Afrika dan negara-negara Balkan.

Selain itu, produk petrokimia seperti baja telah pun banyak dihasilkan yang akan memanfaatkan sektor agromakanan dalam meningkatkan hasil tuaian.

Di samping itu, usaha kerajaan untuk menambahkan hasil produk-produk agromakanan telah menunjukkan hasil.

Sebagai contoh, penanaman bawang telah pun mula dijalankan di kawasan seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Sabah yang sasarannya adalah untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus.

Hasilnya telah pun mula dirasai oleh para petani yang terlibat secara langsung dalam sektor ini yang telah mula menikmati hasil tuaian.

Berdasarkan angka makroekonomi, imbangan defisit perdagangan dalam sektor agromakanan yang dicatatkan pada tahun lalu adalah RM33.9 bilion iaitu berkurangan berbanding RM39.3 bilion pada tahun sebelumnya. Imbangan defisit bererti import melebihi eksport.

Penurunan angka defisit dalam imbangan dagangan sektor banyak disumbang oleh produk-produk seperti bijirin dan sayuran iaitu RM7.4 bilion dan RM8.9 bilion pada tahun 2025 berbanding RM9.1 bilion dan RM9.7 bilion bagi tahun 2024.

Begitu juga produk berkaitan gula dan makanan haiwan yang mencatatkan pengurangan dalam imbangan defisit perdagangan kepada RM3.5 bilion dan RM2.0 bilion pada tahun 2025 berbanding RM6.0 bilion dan RM3.1 bilion pada tahun 2024.

Justeru, rakyat Malaysia perlu menaruh keyakinan kepada kerajaan dalam menangani isu kecukupan bekalan.

Kewujudan organisasi penting seperti Petronas yang wujud lebih lima dekad yang lalu serta kementerian dan agensi kerajaan yang sentiasa cakna tentang penggubalan dan pelaksanaan dasar yang baik seharusnya dapat menjamin kelangsungan ekonomi negara.

Dari satu segi pula, pihak kerajaan juga perlu menguar-uarkan sasaran penting yang telah dicapai seperti isu berkaitan keterjaminan makanan agar dapat mewujudkan keyakinan yang tinggi dalam kalangan rakyat terutama apabila terdapat krisis luaran seperti perang di Iran.

Kebimbangannya adalah apabila terdapat kelompongan maklumat, maka maklumat palsu dan tidak sahih akan mudah membentuk persepsi yang negatif yang boleh merugikan semua pihak.