Kedah naikkan had umur kahwin kepada 18 tahun

18 Jul 2022 • 4:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

ALOR SETAR - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami pada Isnin.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat memberitahu, pindaan berkenaan menetapkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Jelasnya, individu berusia bawah 18 tahun yang berhasrat berkahwin bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi tujuan itu.

"Sekiranya hendak kahwin tetapi ada masalah apapun, (maka) boleh dipohon kepada mahkamah.

"Apabila mahkamah mendapati calon itu perlu dibenarkan (berkahwin) walaupun dia (pemohon) umur 16 tahun, boleh berkahwin dengan kebenaran mahkamah. Kalau tanpa kebenaran mahkamah kena denda," katanya kepada pemberita selepas Sidang DUN Kedah pada Isnin.

Juhari menjelaskan, pindaan RUU Enakmen Keluarga Islam itu turut melibatkan hukuman penjara dan denda bagi kes poligami tanpa kebenaran di Kedah.

Beliau berkata, sebelum ini, hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 ditetapkan bagi kes poligami tanpa kebenaran sebelum dipinda kepada penjara setahun dan denda RM3,000.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, individu bawah 18 tahun ingin berkahwin dikehendaki mengemukakan permohonan kepada mahkamah.

Katanya, beberapa perkara akan dipertimbangkan dalam permohonan untuk perkahwinan bawah 18 tahun kepada mahkamah tersebut, misalnya kes terlanjur.

Beliau mendapati, ada kes perkahwinan usia muda di kawasan tertentu hingga membawa kepada penceraian disebabkan isu kecil sahaja.

"Apabila bercerai, ramai jadi ibu tunggal dan ada anak (di usia muda). Jadi, perkara ini diambil kira dalam pindaan ini. Boleh berkahwin bawah 18 tahun dengan kebenaran mahkamah," katanya.

Muhammad Sanusi menegaskan poligami juga perlu dilakukan dengan kebenaran mahkamah bagi mengelakkan perkara tidak diingini di masa akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved