
KUALA LUMPUR – Kedah sepatutnya menyelesaikan isu tuntutan bayaran caj air mentah Sungai Muda ke atas Pulau Pinang secara baik dengan negeri jirannya itu tanpa melibatkan tindakan undang-undang.
Perkara itu ditegaskan oleh Peguam S. Raveentharan, yang turut mengkritik keputusan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammed Sanusi Md Nor yang dilaporkan berhasrat mahu membawa isu tersebut ke mahkamah.
Raveentharan juga menekankan Sanusi sepatutnya mengajak Pulau Pinang sama-sama mencari jalan untuk menangani perubahan iklim dan isu kemarau yang menjejaskan dua negeri berkenaan, sambil mengingatkan kedua-duanya adalah sebahagian daripada Malaysia.
"Adakah kita juga perlu membeza-bezakan rakyat Kedah yang bekerja di Pulau Pinang? Perlukah kita minta mereka pulang ke Kedah dan bekerja saja di sana?" soal peguam itu.
Beliau dalam pada itu menyifatkan Sanusi sebagai seorang yang tidak faham batas-batas politik.
"Isu air tidak harus dipolitikkan. Hujan adalah fenomena alam semula jadi dan penting untuk kelangsungan hidup manusia.
"Malah pertelingkahan ini melibatkan dua negeri dalam sebuah negara yang sama. Adakah semangat kenegerian jauh lebih penting daripada semangat kenegaraan?" tanya peguam itu lagi.
Raveentharan berkata, perubahan iklim telah menyebabkan sumber asli seperti air terancam dan semua pihak perlu mencari jalan untuk memulihara serta meneroka alternatif baharu, bukan membawa isu itu ke mahkamah.
"Sanusi harus ketepikan politik dan bekerjasama dengan Pulau Pinang untuk tamatkan perbalahan, bukan memanjangkannya.
"Guna pendekatan yang matang dan menjimatkan kos, terutamanya ketika negara sedang bergelut untuk memulihkan ekonomi.
"Membawa isu ini ke mahkamah hanya akan membazirkan wang pembayar cukai yang sepatutnya digunakan untuk mencari sumber air baharu bagi kedua-dua negeri.
"Lainlah kalau kos tuntutan di mahkamah menggunakan duit Sanusi sendiri," ujarnya.
Raveentharan yang juga bekas ahli lembaga pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang menggesa Sanusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berbincang secara baik dan mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Sumber Air Negara bagi mencari penyelesaian menang-menang untuk kedua-dua negeri.
Raveentharan selain itu berkata Chow perlu mempertimbangkan kaedah pengantaraan bagi menyelesaikan pertikaian ini. – Getaran, 4 September, 2024



