Kedai bakeri Korea, Tous les Jours rancang perluas pensijilan halal di semua cawangan

LocalFood
10 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedai bakeri Korea, Tous les Jours rancang perluas pensijilan halal di semua cawangan Image from: Kedai bakeri Korea, Tous les Jours rancang perluas pensijilan halal di semua cawangan amree10/11/2026 - 14:00 [DARI kiri] Pengurus Pemasaran Kanan, Emelia Leong; Ryzal dan Maryam; serta Ketua Projek Halal Tous les Jours, Nor Lydia Noor Azmi bergambar pada sambutan penerimaan pensijilan halal jenama tersebut. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Jenama bakeri Korea Selatan, Tous les Jours memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan apabila cawangannya di Sunway Pyramid, Selangor secara rasmi memperoleh pensijilan halal, sekali gus membuka peluang kepada pelanggan Muslim menikmati roti, pastri dan kek keluarannya.

 

Menurut kenyataan syarikat tersebut, pencapaian itu menjadi langkah penting bagi jenama berkenaan memperluas capaian pelanggan di Malaysia, di samping menyokong perancangannya untuk terus berusaha mendapatkan pensijilan halal bagi semua cawangan pada masa hadapan.

 

Ketua Projek Halal Tous les Jours Malaysia, Nor Lydia Noor Azmi berkata, pensijilan halal cawangan Sunway Pyramid membolehkan produk jenama tersebut dapat dinikmati oleh lebih ramai pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat terutama yang beragama Islam.

 

"Syarikat ini berharap akan dapat memperluas pensijilan halal ke semua cawangan bagi membolehkan lebih ramai lagi pelanggan menikmati rangkaian bakeri secara segar dan sajian autentik Korea yang ditawarkan kami," jelasnya menerusi kenyataan berkenaan.

 

Tous_DagangNews2026

 

Ditubuhkan di Korea Selatan pada 1997, Tous les Jours yang bermaksud 'setiap hari' dalam bahasa Perancis, cukup dikenali rakyat negara tersebut kerana menggabungkan unsur teknik pembuatan roti berinspirasikan tradisi Perancis dengan cita rasa Korea.

 

Jenama itu menawarkan pelbagai pilihan roti, pastri dan kek yang disediakan segar setiap hari, termasuk kroisan bermentega, Salt Butter Roll atau Shiopan, kek krim segar, karipap, bagel rendang serta pelbagai sajian lain yang disesuaikan dengan selera tempatan.

 

Bagi meraikan pencapaian itu, Tous les Jours turut menjemput pencipta kandungan Duriankimchi, Ryzal dan Maryam untuk mengadakan aktiviti khas di cawangan Sunway Pyramid, termasuk sesi demonstrasi penyediaan minuman, sesi ramah mesra, kuiz dan perkongsian produk pilihan.

 

"Selain itu, jenama ini turut memperkenalkan produk baharu Durian Burst Bun buat julung kali bagi menambah variasi pilihan kepada pelanggan di pasaran tempatan," kata kenyataan berkenaan.

 

Tous_DagangNews2026

 

Justeru, bersempena sambutan tersebut, promosi istimewa turut ditawarkan dari 7 hingga 9 November 2026, termasuk kek terpilih hanya dengan harga RM1 pada 7 November 2026, manakala roti terpilih dijual dengan harga sama pada 8 dan 9 November 2026.

 

Pelanggan jenama berkenaan juga ujarnya, berpeluang memenangi baucar bernilai RM5 menerusi aktiviti khas di cawangan Sunway Pyramid dari 6 hingga 12 November 2026, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

 

Ketika ini, Tous les Jours mengendalikan lebih 1,800 cawangan di seluruh dunia, termasuk di Lembah Klang dan terus memperkukuh kedudukannya sebagai jenama bakeri kafe premium yang menawarkan roti serta kek segar kepada pengguna. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved