KLANG – Bermula sekadar membantu membuka dan memasang kerusi pada usia 15 tahun, kini perniagaan rotan asli menjadi nadi kehidupan Low Poh Ping, 36, yang meneruskan legasi keluarga sejak lebih 40 tahun lalu.
Menurutnya, perniagaan itu diwarisi daripada bapanya, Low Kheng Khek, 80, yang mula menceburi bidang rotan sejak muda selepas mempelajari kemahiran tersebut daripada datuknya.
"Ayah saya dulu bekerja dan belajar buat rotan daripada datuk, tapi sempat beralih kepada perabot sebelum kembali semula kepada rotan dan teruskan sampai sekarang," katanya ketika ditemui Sinar Ahad di sini.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, minat mendalam terhadap seni rotan serta kepuasan membaik pulih barangan lama menjadi faktor utama dia kekal dalam bidang berkenaan.
"Saya memang minat rotan terutama kerja ubah suai dan baiki barang rosak. Dari kecil lagi sudah biasa tengok dan tolong ayah, jadi memang tak tahu buat kerja lain,” katanya.
**media[3509059]**
Menurut Poh Ping, keunikan rotan asli terletak pada ketahanan dan keselesaan, selain memberi sokongan baik kepada tubuh terutama bagi warga emas.
"Rotan ini sejuk bila duduk, tak panas macam bahan lain, selain bantu sokong tulang belakang, tak terlalu lembut seperti sofa, malah kalau rosak pun boleh dibaiki semula,” katanya.
Tambahnya, kerusi rotan kekal sebagai produk paling laris, selain bakul dan barangan lain mengikut permintaan pelanggan pelbagai kaum.
"Pelanggan kami pelbagai bangsa terdiri daripada Melayu, Cina, India semua ada, tapi kebanyakannya penduduk tempatan kerana kawasan ini bukan tumpuan pelancong,” jelasnya.
Poh Ping berkata, semua rotan yang digunakan diperoleh dari dalam negara seperti Pahang dan Perak, dengan kebanyakannya dikumpul oleh masyarakat Orang Asli sebelum diproses.
Mengulas proses pembuatan, beliau memberitahu, sebuah kerusi rotan boleh mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk disiapkan bergantung kepada saiz dan reka bentuk.
"Bukan mudah, kena potong, bengkokkan, pasang dan ikat sebelum kemasan akhir seperti cat. Semua ini perlukan kemahiran dan kesabaran,” katanya.
Namun, di sebalik keunikan itu, industri rotan kini berdepan pelbagai cabaran termasuk persaingan produk moden dan perubahan trend pengguna.
"Sekarang permintaan agak menurun berbanding dulu kerana pelanggan lebih pilih sofa atau beli secara dalam talian.
"Rotan ini orang biasanya nak tengok dan cuba dulu baru beli,” katanya.
**media[3509061]**
Katanya lagi, semakin kurang generasi muda berminat meneruskan kemahiran tersebut menyebabkan banyak kedai rotan terpaksa ditutup.
"Dulu di Klang banyak kedai rotan, sekarang tinggal saya seorang saja. Banyak sudah tutup sebab tiada pelapis,” kata lelaki itu.
Walaupun berdepan situasi mencabar, Poh Ping tetap bertahan demi meneruskan warisan keluarga yang dibina sejak sekian lama.
"Saya harap ada sokongan daripada kerajaan, mungkin bantuan atau promosi supaya industri ini terus hidup, lebih sayang kalau warisan ini hilang begitu saja,” ujarnya.
INFO ROTAN MALAYSIA
-Lebih 100 spesies rotan di Malaysia
-Sekitar 20 jenis bernilai komersial
SPESIES UTAMA
-Manau (Calamus manan) – rangka perabot, kukuh & besar
-Sega (Calamus caesius) – anyaman halus, kulit berkilat
-Semambu (Calamus scipionum) – batang panjang, tongkat/payung
-Irit (Calamus trachycoleus) – keras, sesuai struktur perabot
-Jernang (Daemonorops draco) – hasilkan resin merah
SUMBER & HABITAT
-Tumbuh di hutan hujan tropika (lembap & teduh)
-Banyak di Semenanjung, Sabah & Sarawak
-Bekalan utama: Pahang, Perak, Negeri Sembilan
-Ladang rotan diwujudkan sejak 1980-an
KELEBIHAN PERABOT ROTAN
-Sejuk & bernafas – sesuai cuaca panas
-Tahan lama – boleh guna bertahun-tahun
-Ringan – mudah alih
-Fleksibel – sesuai pelbagai reka bentuk
-Boleh dibaiki – jimat & lestari

