Kedai makan di Bachok jadi pusat karaoke haram diserbu

LocalEntertainment
10 Dec 2025 • 1:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Premis milik seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun itu diserbu oleh anggota penguat kuasa dalam satu operasi bermula jam 9 malam hingga 1 pagi. Foto: MDB
image is not available
MDB turut menyita lapan pembesar suara, dua televisyen, satu monitor, mikrofon, kerusi, pengadun kuasa (power mixer), unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan papan kekunci dengan nilai anggaran keseluruhan melebihi RM10,000Foto: MDB
image is not available
MDB berjaya membongkar taktik licik yang digunakan oleh pemilik kedai makan dengan menjadikan ia sebagai pusat karaoke haram selepas menyerbu premis tersebut di Kampung Pulau Kambing, Kandis, Bachok pada Ahad. - Foto: MDB

BACHOK – [DIKEMAS KINI] Majlis Daerah Bachok (MDB) berjaya membongkar taktik licik seorang pemilik kedai makan yang menjadikan premisnya sebagai pusat karaoke haram dalam satu serbuan di Kampung Pulau Kambing, Kandis, di sini pada Ahad.

Setiausaha MDB, Mohd Khairul Adzhar Mohd Adnan berkata, premis milik seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun itu diserbu oleh anggota penguat kuasa dalam satu operasi yang dijalankan dari jam 9 malam hingga 1 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik kedai makan tersebut dipercayai berulang kali menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran. Turut ditemui ialah peralatan hiburan yang lengkap di dalam premis berkenaan.

“Kami telah menyita lapan pembesar suara, dua televisyen, satu monitor, mikrofon, kerusi, pengadun kuasa (power mixer), unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan papan kekunci, dengan nilai anggaran keseluruhan melebihi RM10,000,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

**media[3367292]**

Menurut beliau, pemilik premis berkenaan turut dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,500 di bawah Seksyen 7(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa kelulusan.

Jelasnya lagi, tindakan sitaan penuh akan diambil sekiranya pemilik premis itu mengulangi kesalahan sama memandangkan premis terbabit dipercayai telah beberapa kali menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran.

**media[3367293]**

“Risikan awal mendapati premis ini menjadi tumpuan ramai pengunjung untuk berhibur dan berkaraoke secara haram,” katanya.

Beliau menambah, operasi seumpama ini dijalankan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi membanteras aktiviti hiburan tanpa lesen yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan moral masyarakat setempat.