
LABUAN: Pengerusi Malaysian Hindu Sangam, di sini, Datuk Ramasamy Rengasamy, memuji Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Akmal Saleh (gambar), kerana mempertahankan hak serta kepentingan komuniti bukan Melayu dalam isu hiasan Krismas, yang menjadi perdebatan baru-baru ini.
Beliau berkata Akmal, yang sebelum ini mengkritik penggunaan simbol keagamaan pada stoking, wajar menyatakan bahawa penyediaan makanan tidak mempunyai kaitan dengan hiasan perayaan yang dipamerkan di sesebuah premis.
Bagaimanapun, Ramasamy berkata penjelasan lanjut diperlukan berhubung nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bahawa hiasan perayaan dibenarkan, tetapi hiasan yang melibatkan unsur keagamaan tidak dibenarkan biarpun sesebuah premis menyediakan makanan halal.
Menurutnya, terdapat ramai penganut Hindu yang mengendalikan restoran yang menjual makanan halal, namun pada masa sama mempamerkan gambar dewa-dewi Hindu atau patung kecil di dalam premis, lazimnya di kaunter pembayaran, lengkap dengan pelita kecil yang dinyalakan serta colok atau kemenyan.
“Amalan ini kebanyakannya untuk tujuan identiti serta untuk memohon keberkatan daripada Tuhan agar perniagaan berjaya atau bagi menolak unsur-unsur negatif,” katanya.
Ramasamy berkata panduan sedemikian meletakkan banyak restoran India dalam keadaan serba salah kerana menyingkirkan imej atau simbol berkenaan atas apa jua alasan adalah sesuatu yang sukar diterima dan boleh dianggap menyalahi kepercayaan agama, selain wujud kebimbangan akan kemurkaan dewa-dewi.
“Ia juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing dalam apa jua bentuk,” katanya.
Beliau berkata ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk menemukan imej atau simbol keagamaan sedemikian di ruang makan atau dapur restoran berkenaan.
Menurutnya, amalan itu telah diamalkan sejak berdekad-dekad lamanya dan tidak pernah menimbulkan masalah di negeri-negeri lain, termasuk Kelantan dan Kedah.
Sehubungan itu, Ramasamy menegaskan usaha Malaysia untuk menampilkan diri sebagai sebuah negara berbilang agama, berbilang kaum dan hidup dalam suasana harmoni turut dipertaruhkan sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dengan cermat dan seimbang.

