Tiga tahun sudah berlalu setelah Celcom dan Digi bergabung untuk menjadi satu syarikat: CelcomDigi. Sepanjang tiga tahun ini, mereka telah bekerjasama untuk memperkenalkan penawaran produk baru dari segi pelan pra- dan pascabayar mampu milik sehinggalah premium untuk tujuan korporat, atau mereka yang mahukan pengalaman yang premium.

Sebahagian daripada penawaran pengalaman pelanggan yang baik ialah memperbaiki mutu kedai-kedai fizikal mereka, dan setelah mengemaskini kedai-kedai Celcom dan Digi di seluruh negara, CelcomDigi telah memperkenalkan dua buah kedai mercu yang dinamakan CelcomDigi Store Life yang dibuka bermula hari ini di pusat-pusat membeli-belah Gardens Mid Valley dan juga di Sunway Pyramid.

Selain daripada mendaftar nombor baru dan mengemaskini pelan telekomunikasi pelanggan, CelcomDigi Store Life juga menawarkan pelbagai pengalaman digital yang boleh dinikmati. Salah satu daripadanya ialah ruangan khusus untuk pelbagai produk Samsung, dari peranti-peranti pintar ke produk-produk seperti televisyen pintar dan mesin basuh pintar mereka.

Pelanggan CelcomDigi juga boleh menerima diskaun pembelian produk Samsung setinggi 30 peratus di kedai CelcomDigi Store Life tersebut sekiranya mereka juga merupakan pemilik sebuah peranti pintar Samsung. Diskaun ini tertakluk kepada semua produk-produk Samsung yang dijual di kedai tersebut, termasuklah peranti pintar, televisyen pintar dan sebagainya.

Satu lagi ruangan menarik yang diperlihatkan di kedua-dua kedai CelcomDigi Store Life ini ialah kolaborasi bersama Disney, yang memperlihatkan ruangan bertemakan filem-filem Marvel (Marvel Connect Lounge) di cawangan Sunway Pyramid, dan ruangan bertemakan filem-filem Pixar (Pixar Connect Lounge) di cawangan Gardens Mid Valley.

Ruangan ini sesuai untuk ibu-bapa yang juga datang ke kedai CelcomDigi Store Life bersama anak-anak dan hadir dengan pelbagai jenis permainan interaktif yang sesuai untuk dimainkan oleh anak-anak kecil, beserta barangan Marvel dan Pixar yang rasmi.

Dalam pada itu, kedai CelcomDigi juga mmperlihatkan penawaran peranti-peranti pintar daripada jenama seperti Apple, Honor, Oppo dan Xiaomi, termasuklah aksesori elektronik daripada jenama daripada DJI dan Momax juga.

Kiosk-kiosk CelcomDigi juga dikemaskini dengan sistem baru, dimana selain daripada mendaftar akaun baru dan membayar bil secara kendiri, ia juga hadir dengan pilihan pembayaran lain seperti pembayaran pendaftaran dan kemaskini SSM, kredit dompet untuk Steam Wallet, pembayaran pelbagai jenis bil utiliti dan lain-lain.



