Kedai perkakas elektrik di Pasar Borong Selangor musnah 90 peratus

24 Jul 2026 • 10:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kedai perkakas elektrik di Pasar Borong Selangor musnah 90 peratus
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja overhaul selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.20 pagi.
Image from: Kedai perkakas elektrik di Pasar Borong Selangor musnah 90 peratus
Operasi pemadaman membabitkan 68 pegawai dan anggota JBPM dengan bantuan 67 anggota Pasukan Bomba Sukarela.

SERI KEMBANGAN - Kebakaran di Pasar Borong Selangor awal pagi Jumaat memusnahkan kira-kira 90 peratus sebuah lot kedai yang menjual perkakas elektrik dan peralatan dapur di Blok B4, Pusat Bandar Putra Permai di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pemadaman kebakaran berjaya diselesaikan sepenuhnya kira-kira jam 6.20 pagi.

Menurutnya, setakat jam 7.50 pagi, anggota bomba masih menjalankan kerja pemeriksaan dan memadam sisa kebakaran yang tertumpu di kawasan lot kedai yang musnah.

"Operasi akan diteruskan bagi memastikan tiada lagi baki bara atau punca kebakaran yang boleh menyebabkan api marak semula.

"Kita juga sedang menunggu ketibaan sebuah jengkaut bagi membongkar sisa runtuhan untuk memastikan tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

**media[3592849]**

Media sebelum ini melaporkan kebakaran dilaporkan memusnahkan sebuah premis menjual barangan logam di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Kebakaran yang berlaku turut merebak ke beberapa premis berhampiran, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke bangunan utama pasar.

Ashrul berkata, operasi pemadaman membabitkan 68 pegawai dan anggota JBPM dengan bantuan 67 anggota Pasukan Bomba Sukarela.

Katanya, operasi itu menggunakan lima jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua Aerial Ladder Platform (ALP), sebuah All Terrain Vehicle (BATV), tiga Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta tujuh lori tangki air.

Tambah beliau, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved