Kedai runcit jual rokok kepada remaja 17 tahun didenda RM9,000

LocalPolitics
14 Jan 2026 • 9:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wakil premis terbabit ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Selasa.

KEMAMAN - Padah menjual rokok kepada remaja lelaki berusia 17 tahun, sebuah kedai runcit di daerah ini didenda sebanyak RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Hukuman itu diputuskan selepas wakil premis berkenaan membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Marsha Abdul Malik.

Mengikut pertuduhan, premis itu didapati telah menjual produk merokok kepada seorang lelaki orang belum dewasa (OBD) berusia 17 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di premis yang terletak di Binjai, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 29 September tahun lalu.

Sehubungan itu, premis tersebut didakwa mengikut Seksyen 13(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13(2)(a)(i) akta sama.

Mahkamah kemudian memerintahkan premis itu didenda sebanyak RM9,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Azman Mohd Ramli bersama Alias Awang Kechik.