
MALAYSIA menetapkan sasaran bercita-cita tinggi melalui Kerangka Ekonomi Madani untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030.
Aspirasi ini bukan sekadar berkaitan usaha membanteras rasuah, malah mencerminkan komitmen memperkukuh tadbir urus, integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang sebagai asas pembangunan negara yang mampan.
Dalam konteks tersebut, pencapaian Malaysia dalam CPI turut dipengaruhi prestasi negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-undang Projek Keadilan Dunia (WJP). Indeks ini menjadi antara penanda aras antarabangsa penting dalam menilai kekuatan institusi, keberkesanan sistem keadilan dan sejauh mana prinsip kedaulatan undang-undang diamalkan.
Justeru, kedudukan Malaysia dalam WJP bukan sekadar angka atau ranking. Ia turut mencerminkan tahap keyakinan masyarakat terhadap institusi negara, keberkesanan pentadbiran awam dan keupayaan kerajaan melaksanakan pembaharuan.
World Justice Project menerbitkan Rule of Law Index setiap tahun bagi mengukur pengamalan prinsip kedaulatan undang-undang. Pada 2025, penilaian melibatkan 143 negara, termasuk Qatar sebagai negara baharu.
Berbeza dengan indeks yang hanya menumpukan aspek tertentu, WJP menggunakan pendekatan menyeluruh melalui lapan dimensi utama, iaitu pembatasan kuasa kerajaan, ketiadaan rasuah, kerajaan terbuka, hak asasi manusia, ketenteraman dan keselamatan, penguatkuasaan peraturan, keadilan sivil serta keadilan jenayah.
Kesemua dimensi itu dinilai melalui 44 subfaktor yang merangkumi pelbagai aspek institusi serta pengalaman masyarakat terhadap sistem keadilan.
Berdasarkan WJP Rule of Law Index 2025, Malaysia memperoleh skor 0.57 dan berada di kedudukan ke-56 daripada 143 negara. Kedudukan tersebut tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan prestasi negara agak stabil tetapi belum mencatat peningkatan ketara.
Lebih penting, purata skor rantau Asia Timur dan Pasifik ialah 0.59, menjadikan Malaysia sedikit di bawah purata serantau. Keadaan ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperkukuh sistem penyampaian keadilan, meningkatkan keberkesanan institusi awam dan membina keyakinan rakyat.
Kedudukan dalam WJP juga mempunyai implikasi lebih luas kerana laporan berkenaan menjadi antara sumber data yang digunakan Transparency International dalam pengiraan CPI. Oleh itu, usaha meningkatkan prestasi Malaysia dalam WJP bukan sekadar bertujuan memperbaiki ranking, malah menyokong sasaran negara memperkukuh kedudukan dalam CPI serta meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti antarabangsa.
REFORMASI INSTITUSI
Menyedari kepentingan tersebut, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memperkenalkan pelbagai agenda reformasi institusi dan pembaharuan undang-undang.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026, RUU Ombudsman Malaysia, RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 serta pindaan undang-undang berkaitan amanah.
Usaha ini turut diperkukuh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, yang diterajui Datuk Zamri Misman selaku Ketua Pengarah merangkap Ketua Peneraju Kumpulan Fokus Perundangan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI Kebangsaan.
Selaras pendekatan berasaskan bukti, BHEUU turut menubuhkan Pasukan Penyelidikan Kedaulatan Undang-undang sebagai Ahli Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan CPI.
Pasukan itu menghimpunkan kepakaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Penglibatan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan masyarakat sivil penting bagi memahami faktor sebenar yang mempengaruhi kedudukan Malaysia serta menentukan bentuk pembaharuan yang lebih bersasar.
INDEKS BUKAN SEKADAR ANGKA
Bagaimanapun, keputusan WJP perlu difahami berdasarkan metodologi yang digunakan. Penilaian itu menggunakan tiga sumber utama, iaitu Tinjauan Penduduk Umum (GPP), Borang Soal Selidik Responden Berkelayakan (QRQ) serta data sekunder daripada organisasi antarabangsa.
GPP mengukur pandangan rakyat, manakala QRQ mendapatkan pandangan pakar daripada bidang perundangan, kehakiman, penguatkuasaan, akademik dan masyarakat sivil. Data sekunder pula bersumberkan maklumat organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Pendekatan ini menjadikan WJP antara indeks kedaulatan undang-undang yang komprehensif. Namun, beberapa kekangan perlu difahami supaya dapatan tidak ditafsir secara berlebihan.
Antara perkara utama ialah data GPP Malaysia masih menggunakan maklumat yang dikumpulkan pada 2017. Dalam tempoh hampir sedekad, negara melalui pelbagai perubahan politik, pentadbiran dan reformasi institusi. Pembaharuan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mungkin belum diterjemahkan sepenuhnya dalam penilaian kerana data persepsi rakyat belum dikemas kini.
Komponen QRQ pula hanya melibatkan 29 pakar bagi Malaysia dalam penilaian 2025. Walaupun mempunyai kepakaran tinggi, jumlah tersebut masih kecil berbanding keluasan ekosistem perundangan negara. Penglibatan pakar yang lebih ramai serta mewakili pelbagai bidang, wilayah dan latar institusi berpotensi memberikan gambaran lebih menyeluruh.
Keterwakilan geografi juga perlu diberi perhatian. Data GPP sebelum ini hanya diperoleh daripada Lembah Klang, Johor Bahru dan Ipoh. Pendekatan tersebut belum sepenuhnya menggambarkan pengalaman masyarakat di negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak yang mempunyai ciri demografi, geografi dan sosioekonomi tersendiri.
Selain itu, konsep rule of law tidak semestinya difahami dengan cara yang sama di setiap negara. Budaya, sejarah, sistem perundangan dan pengalaman masyarakat boleh mempengaruhi pandangan terhadap isu seperti akauntabiliti kerajaan, kebebasan kehakiman, ketelusan pentadbiran dan akses kepada keadilan.
Oleh sebab sebahagian penilaian bergantung kepada persepsi, dapatan juga boleh dipengaruhi perkembangan politik, liputan media dan sentimen semasa. Persepsi rakyat tetap penting kerana ia menggambarkan tahap keyakinan terhadap institusi, tetapi wajar dilihat bersama data serta perkembangan institusi yang lain.
Pada masa sama, WJP hanya mengukur 44 subfaktor tertentu. Beberapa aspek yang semakin penting dalam pentadbiran moden seperti budaya integriti organisasi, literasi undang-undang, pendidikan sivik, inovasi digital dalam penyampaian keadilan dan keberkesanan pelaksanaan reformasi tidak dinilai secara langsung.
Justeru, WJP perlu dilihat sebagai penanda aras global yang penting, tetapi bukan satu-satunya ukuran kekuatan keseluruhan ekosistem kedaulatan undang-undang Malaysia.
MEMBINA UKURAN SENDIRI
Mengambil kira kekangan tersebut, Malaysia memerlukan penyelidikan tempatan yang lebih menyeluruh untuk memahami faktor yang mempengaruhi prestasi negara dalam indeks antarabangsa.
Pendekatan ini bukan bertujuan mempertikaikan kredibiliti WJP, sebaliknya melengkapkan dapatan antarabangsa supaya dasar dan reformasi dapat dirangka dengan lebih tepat, bersasar dan berkesan.
Dalam jangka panjang, hasil kajian berkenaan boleh menjadi asas kepada pembangunan Indeks Kedaulatan Undang-undang Malaysia. Instrumen nasional itu boleh mengambil kira realiti perundangan, struktur institusi, kepelbagaian negeri serta keadaan sosioekonomi tempatan.
Indeks nasional tidak perlu menggantikan WJP. Sebaliknya, ia boleh menjadi pelengkap dengan menyediakan ukuran yang lebih terperinci dan sesuai dengan konteks Malaysia.
Pada akhirnya, kedudukan dalam WJP tidak seharusnya dilihat sebagai perlumbaan mengejar ranking semata-mata. Nilai sebenar indeks itu terletak pada keupayaannya membantu mengenal pasti kelemahan, menilai keberkesanan pembaharuan dan menentukan perkara yang perlu diberi keutamaan.
Memperkukuh kedaulatan undang-undang juga tidak boleh bergantung kepada pindaan undang-undang semata-mata. Ia memerlukan komitmen kerajaan, badan kehakiman, agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan tinggi, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat.
Jika semua pihak memainkan peranan, reformasi institusi bukan sahaja dapat memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa, malah membina sistem yang lebih telus, adil dan dipercayai.
Ukuran kejayaan sebenar bukan sekadar apabila ranking meningkat. Yang lebih penting ialah apabila rakyat yakin undang-undang dilaksanakan secara adil, institusi negara berfungsi dengan baik dan hak mereka dilindungi.
Dengan pendekatan yang menyeluruh, inklusif dan berasaskan bukti, Malaysia mempunyai asas lebih kukuh untuk memperbaiki kedudukan dalam CPI serta merealisasikan sasaran berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2030. –UTUSAN
DR. Mafuzah Mohamad ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah dan penyelidik merangkap Ahli Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan Indeks Pesepsi Rasuah (CPI).
The post Kedaulatan undang-undang penentu keyakinan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

