Kediaman Di Khartoum Dhujani Tembakan Mortar, Serangan Udara - Duta

LocalPolitics
29 Apr 2023 • 7:10 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Shamsudin Haron (kiri) menyambut cucunya, Noura Amelea Natalea yang tiba bersama rakyat Malaysia di KLIA, Sepang, semalam. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

SEPANG - Serangan bertubi-tubi berlaku di Khartoum, dengan kawasan sekitar pangsapuri tempat kediaman termasuk Kompleks Petronas dihujani tembakan mortar serta serangan udara, kata Duta Besar Malaysia di Khartoum, Mohamad Razdan Jamil.

Situasi getir itu telah menyebabkan operasi pemindahan segera rakyat Malaysia dilakukan dari Khartoum, yang sedang dilanda konflik dengan menggunakan laluan sejauh 1,300 kilometer (km) ke Pelabuhan Sudan.

“Kami memilih laluan yang tidak mempunyai risiko berlaku serangan terhadap konvoi kami kerana adalah penting memilih jalan yang tidak menjadi rebutan antara  Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

“Kami memutuskan untuk menggunakan laluan sangat jauh untuk ke Pelabuhan Sudan berbanding laluan singkat kerana, meskipun jaraknya pendek iaitu hanya 850km, tetapi ada kawasan yang menjadi rebutan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

image is not available
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) bergambar bersama-sama 30 rakyat Malaysia yang tiba dari Sudan, di KLIA, semalam.

Mohamad Razdan adalah antara 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan Khartoum, ibu negara Sudan yang dilanda konflik, dan kumpulan itu selamat tiba di KLIA di sini pada pukul 2.54 petang menerusi penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah.

Mengimbas kembali perjalanan mereka ke Pelabuhan Sudan, Mohamad Razdan berkata terdapat pusat pemeriksaan dikawal oleh RSF sepanjang laluan antara 50 dan 80 kilometer.

"Setiap kali sampai di pusat pemeriksaan, kami tidak tahu siapa yang mengawal. Tetapi Alhamdulillah, ia dikawal oleh pasukan kerajaan, dan pemandu yang membawa kami mempunyai hubungan yang baik dengan anggota keselamatan...ia perjalanan yang lancar," katanya.

Beliau berkata mereka juga tidak dapat melakukan perjalanan selepas pukul 4 pagi di Sudan kerana beberapa ancaman termasuk jalan berlubang dan risiko diserang hendap.

"Kami boleh diserang hendap kerana terdapat lereng gunung di sepanjang laluan maka adalah lebih baik melakukan perjalanan pada waktu siang," katanya.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera sejak konflik bersenjata antara SAF dan RSF separa tentera tercetus pada 15 April lalu. - Bernama

View Original Article