
PARIS: Kedudukan Gianni Infantino semakin goyah selepas Presiden Persatuan Bolasepak Jordan (JFA), Putera Ali Hussein mendakwa Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan melakukan pemerasan serta menahan pembayaran hadiah kemenangan.
Putera Ali, yang pernah dua kali bertanding jawatan presiden FIFA tetapi tewas, mendakwa JFA masih belum menerima wang hadiah selepas Jordan mara ke final Piala Arab FIFA tahun lalu.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila beberapa penyokong Jordan tidak diberikan visa memasuki Amerika Syarikat (AS) bagi menyaksikan Piala Dunia walaupun sudah memiliki tiket sah.
Selain itu, Putera Ali mendakwa wang hadiah Piala Dunia Jordan turut dikenakan cukai oleh kerajaan AS menerusi FIFA.
Menurut Putera Ali, beliau dimaklumkan bahawa sokongan terhadap pencalonan semula Infantino sebagai presiden FIFA akan membantu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi JFA.
“Kami sudah menunggu wang ganjaran untuk pemain sejak Disember selepas mara ke final Piala Arab di Qatar yang merupakan kejohanan anjuran FIFA.
“Jelas sekali masalah sebenar adalah kepimpinan. Selama berbulan-bulan FIFA enggan membantu kami dalam perkara ini dan beberapa isu lain, sehinggalah saya dimaklumkan secara lisan ketika Piala Dunia bahawa jika saya menyokong Infantino, ia akan banyak membantu JFA,” kata Putera Ali.
Putera Ali tewas kepada Sepp Blatter dalam pemilihan presiden FIFA pada 2015 sebelum menduduki tempat ketiga setahun kemudian di belakang Infantino dan Salman bin Ibrahim Al Khalifa. – AGENSI/UTUSAN
The post Kedudukan Infantino semakin goyah appeared first on Utusan Malaysia.


