
KEPUTUSAN 14 Adun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar dan menjadi ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, kata seorang peguam.
Peguam Perlembagaan Datuk Fuad Tengku Ahmad (gambar) berkata, ini kerana gabungan GRS-Barisan Nasional di Sabah kekal utuh.
Beliau berkata ini berikutan sokongan 46 wakil rakyat, selain keyakinan dan komitmen tujuh Adun Pakatan Harapan, menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Difahamkan juga Parti Kesejahteraan Demoktratik Malaysia (KDM), dengan tiga Adun dan seorang bebas, menyokong teguh kerajaan GRS-BN, katanya dalam satu kenyataan pada 11 Dis.
“Berdasarkan jumlah ini, Hajiji jelas mendapat sokongan 57 Adun - majoriti dalam dewan undangan negeri dengan 79 anggota, dan dengan itu terus mendapat keyakinan dewan mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah,” kata Fuad.
Menjawab kenyataan Datuk Darrell Leiking dari Parti Warisan, beliau berkata empat ahli parlimen GRS itu juga tidak akan kehilangan kerusi mereka akibat meninggalkan Bersatu.
“Ini kerana empat ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 dan bukannya sebagai calon Perikatan Nasional atau Bersatu,” katanya.
Oleh itu, tiada perlanggaran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan sebab empat Ahli Parlimen itu dipilih di bawah GRS, kata Fuad.
Leiking, yang juga timbalan presiden Warisan, mempersoalkan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas beliau (Hajiji) mengetuai penghijrahan beramai-ramai pemimpin Bersatu Sabah pada 10 Dis.
Sementara itu, Presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) Roger Chin berkata masih tiada keputusan mahkamah untuk membimbing tafsiran dan penggunaan Undang-undang Anti Lompat yang berkuat kuasa pada 5 Okt lalu di peringkat nasional (parlimen).
Beliau berkata Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang baharu itu adalah berkaitan pertukaran parti politik ahli, dsb. Ia menyatakan: 49A. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong serta-merta pada tarikh kekosongan disahkan oleh
Speaker di bawah Fasal (3) jika: (a) Setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai ahli politik suatu parti (i) Dia melepaskan keanggotaan parti itu; atau,
(ii) Dia tidak lagi menjadi ahli parti politik; atau,
(b) Setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik, dia menyertai parti politik sebagai ahli.
(2) Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh:
(a) Pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya;
(b) Pelepasan keanggotaan daripada menjadi ahli parti politiknya apabila dipilih sebagai Speaker; atau,
(c) Pemecatan keahliannya dalam parti politiknya.
Beliau berkata perkataan yang digunakan adalah “anggota sebuah parti politik”.
“Maksud kata-kata ini tidak cukup jelas. Adakah ‘parti politik’ bermaksud parti politik individu seperti Umno dan PKR, atau adakah ia termasuk gabungan politik berdaftar seperti BN atau GRS?
“Telah dilaporkan bahawa perlembagaan GRS membenarkan gabungan itu beroperasi sebagai parti politik, walaupun pada masa ini keahliannya berdasarkan parti politik.
“Jika ini betul, adakah ahli parlimen itu anggota GRS atau hanya anggota parti mereka contohnya, Ahli Bersatu dalam GRS? Buat masa ini tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menentukan isu ini dengan satu cara atau yang lain.
“Watikah (surat perlantikan), bendera dan simbol yang digunakan anggota boleh memainkan peranan dalam faktor yang perlu dipertimbangkan dalam mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan ini,” katanya.
Beliau berkata undang-undang anti-lompat itu direka untuk menghalang orang yang dipilih di bawah tiket parti politik daripada berpindah ke parti politik lain selepas memenangi kerusi.
“Bagaimanapun, bagaimana jika mereka berpindah dari satu parti gabungan ke parti gabungan lain tetapi masih kekal dalam gabungan sama? Adakah undang-undang itu juga bertujuan untuk menghalang perkara ini?
“Ia juga mesti diakui bahawa Malaysia dari segi sejarah mempunyai gabungan yang memerintah dan bukannya satu parti majoriti yang memerintah dengan sendirinya.”
Akhir sekali, perlu diingat bahawa pengosongan kerusi bukanlah secara automatik dan di bawah Perkara 49A (3), Yang Dipertua Dewan mesti terlebih dahulu menetapkan bahawa terdapat kekosongan itu.
“Undang-undang Anti-Lompat hanya dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022 dan setakat ini, tiada keputusan mahkamah di Malaysia yang boleh memberi panduan mengenai tafsiran undang-undang baharu itu dan cara ia digunakan.
“Sudah tentu, dalam kes Ahli Dewan Undangan Negeri, undang-undang anti-lompat tidak terpakai kerana Perlembagaan Negeri masih belum dipinda untuk memasukkan perkara sama,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

