
KUANTAN - Kedudukan kewangan Kerajaan Pahang kukuh pada tahun lalu dengan lebihan tambahan sebanyak RM92.8 juta susulan hasil yang diperoleh berjumlah RM1.29 bilion berbanding perbelanjaan berjumlah RM1.20 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebihan terkumpul akaun Hasil Disatukan juga menunjukkan peningkatan pada 2022 kepada RM263.6 juta berbanding RM170.8 juta tahun sebelumnya.
Menurutnya, pencapaian ini telah diperakui menerusi mesyuarat penutup pengauditan penyata kewangan Kerajaan Pahang Tahun 2022 yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang telah diadakan pada 11 Ogos lalu.
"Justeru, Penyata Kewangan Tahun 2022 Kerajaan negeri telah berjaya memperoleh Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara.
"Tahniah saya ucapkan kepada semua jabatan dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di atas pencapaian yang membanggakan ini," katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berharap, pencapaian ini dapat dikekalkan untuk tahun yang akan datang.

