
Kedutaan AS Di Riyadh Jadi Sasaran Serangan Dron
Serangan dron telah menyasarkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Riyadh pada Selasa ketika Iran melancarkan serangan balas ke atas sasaran industri dan diplomatik di seluruh Asia Barat.
Empat hari selepas serangan AS dan Israel yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran serta mencetuskan perang serantau, wartawan AFP di ibu negara Arab Saudi menyaksikan kesan asap dan kerosakan pada dinding serta bumbung bangunan kedutaan berkenaan.
Polis Arab Saudi dilihat mengawal ketat kawasan diplomatik sambil memeriksa kad pengenalan setiap individu yang masuk. Beberapa jalan turut ditutup, termasuk laluan menuju ke Kedutaan AS.
Letupan kuat turut menggegarkan Tehran sepanjang malam ketika pesawat pejuang terbang rendah di ruang udara ibu negara Iran, sementara Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk meningkatkan lagi konflik.
Pada Isnin, Jabatan Negara AS menggesa rakyatnya segera beredar dari semua negara dan wilayah di Asia Barat berikutan risiko keselamatan yang serius.
Di Washington, Trump memberi amaran bahawa serangan itu boleh berterusan selama beberapa minggu atau bulan.
“Dari awal kami mengunjurkan empat hingga lima minggu, tetapi kami mempunyai keupayaan untuk meneruskan jauh lebih lama daripada itu,” katanya di Rumah Putih.
Dalam temu bual terdahulu bersama New York Post, Trump yang berkempen dengan janji menamatkan penglibatan AS dalam peperangan tidak menolak kemungkinan mengerahkan tentera darat AS ke Iran 'jika perlu'.
Dalam wawancara bersama NewsNation pula, Trump memberi amaran bahawa Iran akan mengetahui tidak lama lagi bagaimana beliau merancang untuk membalas serangan ke atas kedutaan AS di Riyadh.
Buat pertama kali, Trump menggariskan objektif operasi itu untuk memusnahkan peluru berpandu Iran, angkatan laut dan program nuklearnya serta menghentikan sokongan Iran kepada kumpulan bersenjata di seluruh rantau berkenaan.
Namun, matlamat Trump itu tidak termasuk menjatuhkan Republik Islam Iran, walaupun beliau dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menggesa rakyat Iran bangkit menentang kerajaan mereka.
Arab Saudi, yang menempatkan antara loji penapisan minyak terbesar di rantau itu, sebahagiannya telah ditutup susulan serangan sebelum ini memaklumkan ia memintas lapan lagi dron di dua bandar termasuk ibu negara pada Selasa.
Bagaimanapun, dua dron berjaya melepasi pertahanan udara dan mengenai Kedutaan AS dan menyebabkan kebakaran.
