Kedutaan AS enggan terima memorandum bantahan usir penduduk Gaza

14 Feb 2025 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dari kiri; Abdul Ghani dan Tian Chua pada sidang media perhimpunan ‘Protes Plan Trump Usir Warga Gaza’ yang diadakan berhampiran Kedutaan AS di Jalan Tun Razak pada Jumaat.

image is not available
Abdul Ghani menyampaikan ucapannya berhubung desakan yang disuarakan oleh gabungan 18 NGO negara ini.

image is not available
Peserta perhimpunan ‘Protes Plan Trump Usir Warga Gaza’ membawa plakad tanda desakan terhadap AS.

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) terus menerima kecaman apabila enggan menerima memorandum bantahan yang diserahkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin bersama 18 badan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Kedutaan AS pada Jumaat.

Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut dan angkuh, mencerminkan sikap AS yang hanya berani membuli pihak tidak bersenjata.

“Kami hanya mampu memasukkan memorandum ke dalam peti surat kerana semua tingkap ditutup dan tiada seorang pun wakil yang tampil. Ini adalah tindakan penjahat,” katanya pada sidang media pada Perhimpunan ‘Protes Plan Trump Usir Warga Gaza’ yang diadakan berhampiran Kedutaan AS di Jalan Tun Razak di sini.

Tian Chua menegaskan rakyat Malaysia akan terus menunjukkan solidariti terhadap Palestin melalui boikot dan demonstrasi berterusan.

**media[3007793]**

“Kita tidak akan tunduk dengan taktik buli AS. Malaysia perlu lebih lantang menyuarakan pendirian menentang kezaliman ini,” katanya.

Dalam memorandum yang dihantar, AS didesak menghentikan sokongan terhadap Israel dan bertanggungjawab dalam memastikan keamanan di Palestin.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia, Datuk Abdul Ghani Samsudin berkata, AS mesti menarik balik sekatan ke atas Gaza, menghentikan pembiayaan ketenteraan kepada Israel dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin.

“Kami menuntut AS menolak sebarang rancangan untuk merampas Gaza, menghentikan sokongan ketenteraan kepada Israel dan menamatkan sekatan yang menyeksa rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut menegaskan Israel perlu dipertanggungjawabkan atas jenayah perang di Gaza dan AS tidak boleh terus melindunginya.

“Israel mesti diheret ke mahkamah antarabangsa dan AS harus menyokong siasatan bebas terhadap pelanggaran hak asasi manusia,” katanya.

**media[3007794]**

"Selain itu, kedaulatan rakyat Palestin mesti diiktiraf sepenuhnya, sementara individu serta entiti yang melakukan jenayah kemanusiaan perlu dikenakan sekatan.

“Rakyat Palestin berhak menentukan masa depan mereka sendiri dan AS tidak boleh terus membiarkan hak mereka dinafikan. Sejarah tidak akan melupakan kezaliman ini,” tegasnya.

Himpunan bantahan pada Jumaat turut disertai oleh pelbagai NGO, pertubuhan masyarakat, serta kumpulan keagamaan yang menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengutuk tindakan AS.

Memorandum berkenaan disokong oleh 18 NGO termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Perikatan Masjid Sedunia dalam Pembelaan Al-Aqsa dan Persatuan Ulama Malaysia serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved