Kedutaan AS Sangkal Kenyataan Gilley, Malaysia Selamat Untuk Dilawati

Politics
26 Apr 2024 • 2:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Bruce D Gilley (gambar) mendakwa Malaysia tidak selamat untuk dikunjungi kerana menyokong holokus kedua terhadap kaum Yahudi - gambar Portland State University

KUALA LUMPUR - Malaysia ialah sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi, walaupun ada pihak mendakwa sebaliknya.

Portal South China Morning Post yang memetik kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) melaporkan, perintah perjalanan untuk rakyat negara itu ke Malaysia kekal di Tahap Satu.

Tahap Satu dikategorikan sebagai paling selamat manakala Tahap Empat dikategorikan sebagai paling tidak selamat.

Laman sesawang Jabatan Negara AS juga menunjukkan Malaysia berada di Tahap Satu sejak kali akhir dikemas kini pada 24 Julai 2023.

Menurut jabatan itu, AS dan Malaysia memiliki hubungan bilateral yang sihat.

“Hubungan ekonomi kedua negara amat memberangsangkan dan ada sejarah yang panjang untuk pertukaran rakyat kepada rakyat.

“Malaysia memiliki kepelbagaian demokrasi dan rakan kerjasama yang penting untuk penglibatan AS di Asia Tenggara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melabelkan seorang pensyarah Sains Politik negara itu, Bruce D Gilley sebagai ahli akademik ‘biasa-biasa’ yang tidak seharusnya dijemput ke Malaysia.

Gilley menerusi satu ceramah di Universiti Malaya (UM) tiga hari lalu menzahirkan pandangan pro Zionis, sekali gus secara tidak langsung menentang dasar dan pendirian kerajaan Malaysia.

“Sebuah negara yang pemimpin politiknya menyokong holokus kedua terhadap kaum Yahudi tidak mungkin tampil sebagai pihak yang serius dalam hal ehwal dunia, dan tidak mungkin menjadi rakan AS,” katanya.

Petikan ucapan tersebut turut dimuat naik di X, dan bagai dijangka, menerima reaksi ‘panas’ pelbagai pihak.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Will Malaysia become an active middle power.

Susulan kenyataan, UM membuat permohonan maaf dan memaklumkan, semua aktiviti dijadualkan dihadiri Gilley telah dibatalkan. - Getaran, 26 April 2024

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved