
Keeway Malaysia secara rasmi memperkenalkan model skuter ‘cross-over’ terbaharu mereka, Keeway XDV180 EVO, bersempena dengan pelancaran Mforce SmartShop Wee Biker Sdn. Bhd. Ditawarkan pada harga asas RM9,388.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh negara.



Didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik – Grey, Black dan White – Keeway XDV180 EVO dikuasakan oleh enjin 174cc silinder tunggal, 4-lejang, 4-injap dengan penyejukan cecair dan sistem Electronic Fuel Injection (EFI). Ia menjana kuasa maksimum 13.6kW @ 8,500rpm dan tork maksimum 17.2Nm @ 6,500rpm, memberikan prestasi responsif dan efisien dalam pelbagai situasi tunggangan.
Prestasi Enjin dan Ciri Teknologi
Model ini menggunakan sistem nyalaan T.C.I, dihidupkan secara elektrik, dan dilengkapi dengan transmisi automatik CVT serta pacuan akhir jenis tali sawat (V-belt). Nisbah mampatan 11.5:1 dengan saiz bore dan stroke 61mm x 59.6mm membolehkan tunggangan yang mantap sama ada di jalan raya mahupun laluan berbatu ringan.
Antara ciri tambahan termasuk:
- TCS (Traction Control System) yang boleh ditukar mengikut keperluan penunggangan.
- Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (upside-down) dan penyerap hentak berkembar di belakang.
- Tayar dwi-fungsi: 110/80-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang) – sesuai untuk permukaan rata atau off-road ringan.
Keselamatan & Kemudahan Pengguna
XDV180 EVO juga dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan teknologi ABS dwi-saluran untuk keselamatan maksimum. Sistem elektronik disokong oleh bateri 12V9Ah.
Model ini turut hadir dengan pelbagai fungsi pintar:
- Driving Video Recorder (DVR) hadapan terbina dalam, boleh disambung ke telefon pintar.
- Kad memori 32GB disediakan bersama unit DVR.
- Paparan meter TFT 7 inci dengan sistem keyless.
- Rak belakang (rear carrier) mampu menampung top box bersaiz 45 liter.
Reka Bentuk & Spesifikasi Dimensi
Dengan berat kering hanya 145kg, skuter ini mudah dikendalikan dan sesuai untuk pelbagai peringkat penunggang. Dimensi utama adalah seperti berikut:
- Ketinggian tempat duduk: 870mm
- Kelegaan tanah: 140mm
- Panjang x Lebar x Tinggi: 1,940mm x 770mm x 1,285mm
- Jarak roda: 1,335mm
- Kapasiti tangki bahan api: 10 liter
Jaminan & Servis
Setiap pembelian Keeway XDV180 EVO disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu). Selain itu, pelanggan juga boleh mengakses perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian melalui Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.























The post Keeway XDV180 EVO Sasar Penunggang Aktif dengan Rekaan Tahan Lasak dan Teknologi Pintar appeared first on TW Media.
