
ADDIS ABABA – Lebih 60 orang terbunuh dalam siri serangan ke atas penganut Kristian di wilayah Oromia, Ethiopia, demikian menurut Gereja Ortodoks kepada badan penyiaran BBC semalam.
Seorang penduduk yang bapanya berusia 75 tahun terbunuh menyifatkan kejadian sebagai serangan hendap. “Kami benar-benar tidak bersedia dan tidak tahu apa-apa.
“Mereka mengepung kami dari keempat-empat arah,” katanya kepada BBC Amharic.
Kerajaan wilayah berkata, pihaknya akan bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Seorang pegawai tempatan menuduh serangan itu dilakukan oleh pakatan pemberontak baru dibentuk, Perikatan untuk Kelangsungan Hidup (Alliance for Survival) yang merangkumi Tentera Pembebasan Oromo (OLA).
OLA belum mengulas tragedi itu tetapi menafikan melakukan serangan seumpamanya sebelum ini.
Gereja Ortodoks Ethiopia berkata, 20 buah rumah telah dibakar dalam serangan sama, namun tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab.
Beberapa saksi memberitahu BBC Amharic bahawa lima manga yang terbunuh ialah kanak-kanak.
Seorang pegawai gereja menyifatkan serangan ke atas tiga kawasan di daerah Shirka itu sebagai pembunuhan beramai-ramai dan berkata, pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian tetapi tidak dapat menghentikan serangan daripada berlaku.
Ramai penduduk kini melarikan diri dari kawasan tersebut.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Gereja Ortodoks berkata, pihaknya berulang kali membangkitkan kebimbangan mengenai situasi tidak selamat kepada pihak berkuasa di pelbagai peringkat kerajaan, tetapi ‘setakat ini tiada penyelesaian’.
Menurut badan bukan kerajaan Majlis Hak Asasi Manusia Ethiopia, seramai 458 orang terbunuh dalam serangan di Oromo sepanjang empat tahun lalu tetapi serangan kali ini adalah paling berdarah.
Kumpulan- kumpulan bersenjata berulang kali menyerang komuniti tempatan, terutamanya penganut Gereja Ortodoks Ethiopia, dalam apa yang disifatkan sebagai serangan bermotifkan agama.
Kerajaan sebelum ini pernah menyalahkan OLA atas serangan yang berlaku dengan Perdana Menteri Abiy Ahmed berkata, keganasan menyasarkan orang awam dan institusi keagamaan itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menjejaskan kestabilan negara.
OLA yang mendakwa memperjuangkan hak lebih besar untuk rakyat Oromo pula menafikan dakwaan kerajaan.
Laporan terdahulu juga merekodkan serangan terhadap orang Islam di Oromo.
Kira-kira dua pertiga rakyat Ethiopia adalah penganut Kristian.
Kebanyakan mereka pengikut Ortodoks, manakala satu pertiga lagi umat Islam. – AGENSI
The post Keganasan di Oromia, 60 penganut Kristian hilang nyawa appeared first on Kosmo Online.

