
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,014 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara setakat Jun tahun ini, meningkat berbanding 3,768 kes yang dicatatkan sepanjang 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, faktor selisih faham mencatatkan kes tertinggi, sekali gus menegaskan komunikasi merupakan elemen penting bagi mencegah konflik daripada menjadi lebih serius sehingga membawa kepada tindakan keganasan rumahtangga.
Katanya lagi, daripada rekod itu juga, sebanyak 75 peratus adalah membabitkan mangsa wanita iaitu seramai 3,015 mangsa.
“Statistik UN Women menunjukkan bahawa hampir satu daripada tiga wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual oleh pasangan sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat mereka.
“Di peringkat nasional, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah mencatatkan sebanyak 4,014 kes keganasan rumah tangga sehingga Jun pada tahun ini di seluruh negara berbanding 3,768 kes pada tahun 2025. Bermakna tahun ini lebih tinggi. Peningkatan jumlah kes ini boleh dilihat dari dua perspektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) di sini, hari ini.
Selain itu, katanya lagi, antara faktor lain yang turut menyumbang kepada kes keganasan rumahtangga adalah faktor kewangan yang dikenali sebagai financial abuse.
Katanya, ia di antara kes baharu pada ketika ini dengan mencatatkan angka sebanyak 378 kes, selain kes dadah dengan mencatatkan angka sebanyak 444 kes.
“Ada juga pasangan yang mempunyai pendapatan lebih daripada mencukupi, tetapi masih tidak membantu dalam rumah tangga. Kadang-kadang wanita sebagai pasangan tidak tahan dengan keadaan itu.
“Dia akan bersuara dan apabila dia bersuara, perkara itu menjadi permulaan kepada perbalahan. Ada juga wanita yang memilih untuk berdiam diri dan berkata, ‘Aku tidak peduli kalau kau tidak beri duit, aku ada duit sendiri.’ Ada wanita yang seperti itu.
“Tetapi itulah yang menjadi alasannya. Dia menggunakan aspek kewangan sebagai satu bentuk kawalan atau penderaan. Dia mempunyai kemampuan, tetapi tidak menggunakan apa yang ada untuk membantu anak-anak dan isteri,” katanya.
Mengikut pecahan negeri, jelas Nancy, Johor mencatatkan negeri tertinggi mengalami kes keganasan rumahtangga iaitu sebanyak 721 kes, diikuti Selangor sebanyak 614 kes dan Perak sebanyak 405 kes.
Mengulas lanjut, katanya lagi, dengan angka yang dicatatkan jelas menunjukkan ramai mangsa wanita yang telah berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan dan aduan berkenaan keganasan rumahtangga.
“Statistik ini boleh ditafsirkan sebagai petanda positif bahawa semakin ramai mangsa kini berani tampil ke hadapan. Dan mereka membuat laporan dan mendapatkan bantuan berkaitan keganasan yang dialami.
“Kedua ialah hal ini turut mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap isu keganasan rumah tangga. Namun begitu, isu keganasan rumah tangga tetap tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh dibuat secara normal.
“Jadi, usaha perlu diteruskan, diperkukuhkan melalui kesedaran masyarakat, sistem sokongan serta intervensi di peringkat komuniti agar setiap individu yang berdepan dengan insiden keganasan dapat dibantu, dilindungi dan dirujuk kepada perkhidmatan yang sewajarnya,” katanya.
Jelas Nancy, sehingga 7 Ogos lalu, Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (AKU WANITA@KRT telah menyantuni lebih 3,600 peserta, manakala 230 pemandiri menerima manfaat.
Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian bersama agensi di bawahnya akan terus komited membendung keganasan rumah tangga serta memastikan mangsa mendapat perlindungan, pembelaan dan akses kepada bantuan yang diperlukan.
“Namun, kita juga perlukan masyarakat untuk bersama-sama bertindak. Sekiranya kita melihat seseorang berada dalam keadaan berisiko, jangan memilih untuk berdiam diri. Dekati mereka dengan empati, berikan maklumat yang tepat dan bantu mereka mendapatkan sokongan melalui saluran yang bersesuaian,” katanya.
Malah katanya, usaha menangani keganasan rumah tangga perlu diteruskan dan diperkukuh melalui kesedaran masyarakat, sistem sokongan serta intervensi di peringkat komuniti.
Katanya, Program Santun Kasih Pemandiri Terhadap Keganasan Rumah Tangga merupakan antara inisiatif baharu kerajaan yang memberi fokus khusus kepada pemandiri keganasan rumah tangga.
“Istilah pemandiri atau survivor merujuk kepada individu yang pernah mengalami keganasan atau penderaan dan sedang melalui proses pemulihan, membina semula kehidupan serta memperkukuh keupayaan diri untuk meneruskan kehidupan dengan selamat, bermaruah dan berdikari,” katanya. – UTUSAN
Nancy Shukri bersama Timbalannya, Lim Hui Ying menyantuni mangsa keganasan rumah tangga selepas perasmian Program Santun Kasih Pemandiri @ Keganasan Rumah Tangga di M Resort Hotel. Foto : Saddam Yusoff
The post Keganasan rumah tangga meningkat 4,014 kes appeared first on Utusan Malaysia.


