
KUALA LUMPUR - Pendakwah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.
Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, pula dituduh di Mahkamah Majistret Jawi manakala pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, di Mahkamah Majistret Seremban.
Bagaimanapun, Zamri Vinoth dan Arun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.
Di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, Zamri Vinoth didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lepas.
Dia didakwa membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Februari lepas, yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Arun pula dituduh di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad atas dakwaan membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya, yang dilihat dan didengar oleh individu yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, pada 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Kenyataan itu mengajak Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung isu video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio tempatan didakwa mempersenda satu perayaan agama.
Di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, Mahendra Bhoopaty berdepan pertuduhan memuat naik video di Facebook dengan mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam, terdorong supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Dalam video berkenaan, dia dilaporkan berkata: "kalau kuil India di bawah jambatan haram, yang ini masjid bawah jambatan flyover macam mana? haram ke halal, cuba terangkan".
Perbuatan itu dilakukan pada 27 Februari lepas kira-kira 12.30 tengah hari di Masjid Jamek Dato' Bandar Hj Ahmad Rasah, Kampung Dato Mansor, Seremban.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
