KEHADIRAN Tan Sri Hamidin Mohd Amin di Piala Dunia selaku ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuktikan beliau bukan sahaja dihormati di peringkat antarabangsa, malah menjadi suara Malaysia dalam kalangan pembuat keputusan tertinggi bola sepak dunia.
Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, perjalanan Hamidin daripada pentadbiran bola sepak di Selangor sehingga mencapai kedudukan tertinggi dalam FIFA wajar dijadikan inspirasi kepada generasi baharu pentadbir sukan itu.
Menurut Zainal, pencapaian Hamidin bukan diperoleh dalam sekelip mata, sebaliknya hasil pengalaman dan pengorbanan selama puluhan tahun dalam bola sepak.
“Ramai melihat beliau hari ini berada di Piala Dunia dan menghadiri mesyuarat FIFA, tetapi mereka mungkin terlupa bagaimana beliau bermula.
“Hamidin datang daripada komuniti bola sepak, memahami denyut nadi permainan dari bawah dan meningkat setapak demi setapak sehingga mendapat pengiktirafan dunia.
“Apabila seseorang dipilih menganggotai Majlis FIFA, itu bermakna beliau mendapat kepercayaan negara-negara anggota dan pemimpin bola sepak dunia. Ia satu pencapaian besar bukan sahaja untuk beliau, tetapi juga untuk Malaysia,” kata Zainal.
Hamidin memulakan perjalanan pentadbirannya bersama bola sepak Selangor sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kemudiannya dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018.
Pengaruh beliau terus berkembang di peringkat Asia dan dunia sehingga berjaya memenangi kerusi Majlis FIFA pada 2023.
Zainal menyifatkan kedudukan Hamidin hari ini setanding dengan pengaruh yang pernah dibawa mendiang Datuk Paul Mony Samuel, antara tokoh pentadbiran bola sepak paling disegani dari Malaysia dan Asia.
“Pada zaman saya bermain dahulu, antara nama Malaysia yang cukup dihormati di peringkat antarabangsa ialah Datuk Paul Mony Samuel.
“Hari ini, Hamidin meneruskan legasi itu. Apabila ada wakil Malaysia dalam Majlis FIFA, suara kita didengar dan pandangan kita diambil kira dalam pembangunan bola sepak dunia.”
Zainal turut memuji pencapaian Hamidin sepanjang menerajui FAM, yang menurutnya menyaksikan peningkatan ketara profil Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Ketika Hamidin mengambil alih tampuk kepimpinan FAM pada Julai 2018, Malaysia berada di tangga ke-171 ranking dunia FIFA dan sedang berusaha membina semula pasukan kebangsaan selepas beberapa tahun yang mencabar.
Di bawah kepimpinannya, skuad Harimau Malaya menunjukkan peningkatan berterusan menerusi era kendalian Tan Cheng Hoe, Kim Pan-gon dan Pau Marti Vicente, dengan Malaysia melonjak lebih 40 anak tangga dalam ranking FIFA dalam tempoh tersebut.
Kemuncak kepada perkembangan itu hadir pada 2022 apabila Malaysia layak ke Piala Asia 2023 menerusi kempen kelayakan buat kali pertama sejak 1980, sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun untuk beraksi di pentas tertinggi Asia berdasarkan merit.
Bagi Zainal, pencapaian itu sahaja sudah cukup untuk meletakkan nama Hamidin dalam sejarah bola sepak negara.
“Kelayakan ke Piala Asia adalah satu detik bersejarah kerana ia menunjukkan Malaysia kembali mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia.
“Pentadbir tidak menjaringkan gol atau membuat hantaran, tetapi mereka menyediakan asas dan persekitaran yang membolehkan jurulatih serta pemain berjaya.
“Apa yang kita lihat adalah hasil perancangan, kesinambungan dan sokongan yang diberikan kepada pasukan kebangsaan.”
Selain kejayaan di atas padang, Zainal percaya sumbangan terbesar Hamidin adalah membuktikan bahawa individu biasa juga mampu mencapai kedudukan tertinggi dalam bola sepak negara dan dunia.
Ketika dilantik sebagai Presiden FAM pada 2018, Hamidin pernah menyifatkan dirinya sebagai “rakyat marhaen” yang berjaya memimpin badan induk bola sepak negara selepas sekian lama ia diterajui tokoh-tokoh diraja.
“Kisah beliau cukup istimewa kerana menunjukkan bahawa sesiapa yang bekerja keras dan berkhidmat kepada bola sepak mempunyai peluang untuk berjaya.
“Daripada seorang penyokong dan pentadbir bola sepak Selangor, beliau akhirnya menjadi Presiden FAM dan kini ahli Majlis FIFA.
“Perjalanan itu sepatutnya menjadi inspirasi kepada generasi baharu pentadbir seperti mana pemain muda menjadikan legenda bola sepak sebagai contoh.”
Ketika dunia terus memberi tumpuan kepada Piala Dunia, Zainal berkata kehadiran Hamidin di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa membuktikan Malaysia kini mempunyai tempat dan pengaruh tersendiri dalam landskap bola sepak global.
“Setiap kali Hamidin berada di meja FIFA, Malaysia turut berada di situ.
“Itu sesuatu yang patut dibanggakan oleh seluruh peminat bola sepak negara.” ujarnya.
