Kehadiran Kapal Laut AS Di Pulau Pinang Hanya Untuk ‘Port Of Call’ - Khaled

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 8:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Pulau Pinang tidak membawa sebarang ancaman, kerana ia hanya panggilan pelabuhan rutin untuk tujuan logistik sebelum meneruskan pelayaran.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) berlabuh dari 14 hingga 16 Mac sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

Menurut beliau, lawatan seumpama itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada amalan maritim antarabangsa dan hubungan pertahanan.

“Persinggahan pelabuhan ini berfungsi sebagai satu bentuk diplomasi pertahanan yang bertujuan untuk memupuk pembinaan keyakinan, sambil melindungi kedaulatan dan integriti wilayah negara,” katanya.

Ahad lalu, dua kapal tempur pesisir berkenaan dilihat berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara Pulau Pinang, kira-kira 5,600km dari Teluk Parsi, dengan gambar kapal itu tersebar luas di media sosial.

Kapal tempur pesisir ialah kapal permukaan yang agak kecil yang direka untuk operasi di persekitaran berhampiran pantai.

Mengulas lanjut Khaled berkata, kehadiran kapal tentera laut asing itu  merupakan sebahagian daripada usaha diplomasi pertahanan, yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan antara negara serta membantu memelihara kedaulatan dan integriti wilayah.

“Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut. 

“Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, port of call ini (persinggahan pelabuhan) seperti ini berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara.

“Ia sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

“Sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan antaranya Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan AS,” katanya.  - Getaran, 18 Mac 2026