Keharmonian sosial: Pengukuhan perpaduan masyarakat dunia

WorldOpinion
10 Jun 2026 • 4:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keharmonian sosial: Pengukuhan perpaduan masyarakat dunia
Datuk Dr. Sirajuddin

KETIKA Baginda Rasulullah SAW mentadbir Madinah al-Munawwarah, Baginda telah mewujudkan persepakatan bernegara melalui pembinaan Perlembagaan Madinah sebagai payung pentadbiran.

Perlembagaan ini telah menyatupadukan kemajmukan masyarakat pelbagai agama dan kaum berteraskan 4 paksi utama iaitu interaksi aman semua masyarakat, memelihara kebebasan beragama kepada semua, peluang kepada semua pihak untuk terlibat dalam urusan sosial, dan kemasyarakatan serta memperakui tanggungjawab setiap individu

Setiap golongan di kalangan orang Islam termasuk golongan bukan Islam kesemuanya terlibat mempertahankan negara Madinah daripada sebarang anasir yang boleh memporak-perandakan keamanan negara.

Perlembagaan Madinah telah menjadi asas untuk menguruskan kemajmukan dengan penuh tertib, beradab dan bijaksana.

Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Intisari Kesederhanaan Islam

Intipati ajaran agama Islam penuh dengan citra keadilan, kesederhanaan serta menolak sebarang unsur melampau dan ekstrem dalam kehidupan. Firman Allah pada Surah Al-Maidah, ayat 8 membawa maksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)”

 

Para ulama’ tafsir telah memberikan perincian ummatan wasata pada ayat tersebut bererti adil, pertengahan, sederhana serta berdiri atas paksi nilai agama. Islam melarang keras umatnya bersikap ekstrem serta keras melampau dalam tindakan.

Dalam konteks interaksi bersama masyarakat bukan Islam, Al-Quran telah memberikan garis panduan jelas seperti yang termaktub dalam Surah Al-An’am, ayat 108, bermaksud:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

Begitu juga nilai keadilan Islam itu terzahir seperti firman-Nya dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.

Asas kepada model perdamaian juga telah ditegaskan dalam ayat 159, Surah Ali Imran bererti:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”

Islam menjulang tinggi nilai karamah insaniah dengan memberikan jaminan keselamatan serta keharmonian kepada semua pihak melalui prinsip saling hormat menghormati, bersatu-padu dan bekerjasama di atas prinsip Fiqh Ta’ayush.

Sebarang salah faham mesti ditangani dengan penuh hikmah melalui dialog yang berhemah bukannya dengan cara meniupkan sentimen kebencian.

Penganjuran Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama 2026 dan Majlis Ulama Asia Tenggara 2026

Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Liga Dunia Arab (Muslim World League) telah meneruskan langkah strategik menghimpunkan para pemimpin keagamaan dalam Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama 2026 pada 12 Jun 2026 dan Majlis Ulama Asia Tenggara 2026 akan diadakan pada 13 Jun 2026.

Objektif utama penganjuran kedua-dua program ini adalah untuk membangun wawasan tamadun bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremisme serta menyeru perpaduan ke arah keharmonian sejagat.

Pada masa sama, acara besar ini juga memberikan penumpuan ke arah pemerkasaan peranan golongan belia sebagai tonggak keharmonian dunia.

Keamanan dan keharmonian bermasyarakat menjadi pasak penting kepada kestabilan dunia.

Semoga usaha ini akan melakar masa hadapan dunia yang aman, sejahtera dan harmoni.

Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee merupakan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)