Kehilangan 3 beranak mungkin sebab hutang kutu

5 Aug 2026 • 1:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kehilangan 3 beranak mungkin sebab hutang kutu

JITRA – Polis tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam dekat sini sejak 20 Julai lalu disebabkan hutang permainan kutu. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat mangsa permainan kutu terhadap wanita dilaporkan hilang itu. 

Katanya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan keberadaan pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka. 

“Setakat ini, tiada pergerakan tiga individu terbabit ke luar negara. Siasatan masih diteruskan sebagai orang hilang.

“Kita menyiasat kes ini daripada segala sudut. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga itu diminta segera menghubungi pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan polis sedang mengesan tiga sekeluarga dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu.

Laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri, Khairul Azhar Ahmad, 39, dan Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, serta anak mereka, Adid, 9, dibuat bapa wanita terbabit berusia 62 tahun, tengah malam semalam. 

Kanak-kanak itu juga dikatakan tidak ke sekolah dalam tempoh tersebut.

Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mereka dapat menghubungi individu dilaporkan hilang itu adalah pada 20 Julai lalu sebelum gagal dihubungi sehingga hari ini.

Hasil siasatan televisyen litar tertutup di perumahan tersebut mendapati tiga individu terbabit ada pulang ke rumah dengan sebuah kenderaan pada pukul 1.12 pagi kelmarin dan keluar semula dari situ kira-kira sejam lapan minit kemudian.  – KOSMO! ONLINE

The post Kehilangan 3 beranak mungkin sebab hutang kutu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved