Kejadian Rusuh Di Kuil Sri Maha Mariamman, 17 Lelaki Bebas

27 Jun 2023 • 3:42 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kejadian Rusuh Di Kuil Sri Maha Mariamman, 17 Lelaki Bebas

PETALING JAYA, 27 Jun (Bernama) — Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan 17 orang lelaki daripada pertuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, lima tahun lepas, tanpa memanggil mereka membela diri.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah mendapati saksi pendakwaan gagal mengenal pasti kesemua tertuduh melalui pengecaman di kandang tertuduh dan keterangan saksi di mahkamah tidak konsisten.

“Pihak pendakwaan juga tidak mengemukakan sebarang senjata di mahkamah sebagai bahan eksibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan. Semua senjata itu hanya dikutip dari tempat kejadian oleh saksi dan bukannya dirampas daripada tertuduh,” katanya.

Kesemua tertuduh berusia antara 24 dan 47 tahun itu didakwa berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau serta kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di kuil berkenaan di USJ 25, Seafield, Subang Jaya antara 2 pagi dan 5 pagi, 26 Nov 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA